Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor gesa siasatan menyeluruh isu Network School di Forest City
Johor gesa siasatan menyeluruh isu Network School di Forest City
Onn Hafiz tegaskan negeri tidak akan benar sebarang aktiviti yang jejaskan keselamatan dan kedaulatan negara
Johor gesa siasatan menyeluruh isu Network School di Forest City
Kerajaan Johor menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap operasi Network School di Forest City, Iskandar Puteri susulan kebimbangan orang ramai, termasuk dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan serta kepentingan Johor dan Malaysia.
“Kerajaan Johor mengambil maklum dan memandang serius kebimbangan rakyat berhubung operasi Network School di Forest City, termasuk dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program tersebut menggunakan pasport negara kedua.
“Saya menegaskan bahawa Kerajaan Johor tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negeri ini sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan dan kepentingan Johor serta Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada 14 Julai.
Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Johor meminta Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan menjalankan semakan dan siasatan terhadap beberapa aspek.
Katanya, siasatan perlu merangkumi identiti serta kewarganegaraan individu yang terbabit, dokumen perjalanan termasuk penggunaan pasport kedua, jenis pas yang digunakan untuk memasuki Malaysia, selain memastikan tujuan kemasukan adalah selaras dengan aktiviti sebenar yang dijalankan di negara ini.
Dalam masa sama, Datuk Onn Hafiz berkata Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital serta agensi kawal selia berkaitan turut diminta menentukan status sebenar operasi Network School dan sama ada program yang dijalankan memerlukan pendaftaran atau kelulusan mengikut peruntukan undang-undang negara.
Beliau berkata di peringkat negeri pula, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi berkaitan akan menyemak semua aspek pematuhan yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing.
“Semakan itu meliputi pematuhan terhadap syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan, aktiviti perniagaan serta apa-apa keperluan perundangan atau peraturan lain yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas imigresen, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, mahupun sebarang unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri dan keselamatan negara, tindakan tegas perlu diambil tanpa sebarang kompromi.
“Kerajaan Johor akan terus bertindak secara bertanggungjawab serta berlandaskan undang-undang demi melindungi kepentingan negeri dan mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, berkata pihaknya baru menerima maklumat mengenai perkara itu dan sedang meneliti kesahihan dakwaan berkenaan sebelum sebarang pendirian rasmi diambil.
“Sekiranya perkara itu benar dan melanggar dasar kerajaan, sudah tentu kami tidak bersetuju dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Datuk Pandak merupakan Adun Kota Iskandar yang kawasannya merangkumi Forest City, lokasi Network School beroperasi.
Isu itu tular selepas beberapa pengguna media sosial mempersoalkan kehadiran Network School di Forest City, dengan ada hantaran mendakwa projek berkenaan menarik penyertaan usahawan asing, termasuk warga Israel yang memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua.
