Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taman Haiwan Johor akan lancar safari malam pada penghujung 2025

Feb 9, 2025 | 3:14 PM
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (kiri), mengunjungi Taman Haiwan Johor pada November 2024 bagi cadangan kerja-kerja naik taraf fasa kedua. Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, telah meluluskan RM5 juta ($1.52 juta) untuk fasa kedua kerja-kerja menaik taraf taman haiwan itu, yang dijadualkan bermula pada suku pertama 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (kiri), mengunjungi Taman Haiwan Johor pada November 2024 bagi cadangan kerja-kerja naik taraf fasa kedua. Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, telah meluluskan RM5 juta ($1.52 juta) untuk fasa kedua kerja-kerja menaik taraf taman haiwan itu, yang dijadualkan bermula pada suku pertama 2025. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

Safari malam di Taman Haiwan Johor dijangka dibuka pada penghujung 2025, kata pengerusi jawatankuasa perumahan dan kerajaan tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Beliau berkata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, telah meluluskan RM5 juta ($1.52 juta) untuk fasa kedua kerja-kerja naik taraf taman haiwan itu, yang dijadualkan bermula pada suku pertama 2025.

“Kami baru-baru ini membentangkan cadangan menaik taraf kemudahan seperti tempat letak kereta dan kandang haiwan, yang telah diluluskan.

“Apabila kerja naik taraf selesai, kami menjangkakan 80 peratus daripada taman haiwan itu akan menjadi lebih mudah diakses oleh warga emas, orang kurang upaya dan ibu bapa yang membawa kereta sorong.

“Selain itu, kami menyasarkan untuk melancarkan safari malam pada suku keempat tahun ini,” kata Encik Mohd Jafni ketika ditemui akhbar StarMetro di pejabatnya di Kota Iskandar.

Bagi menampung jangkaan peningkatan pengunjung dan kenderaan, Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB) merancang untuk melabur RM10 juta untuk mengubah sebidang tanah berhadapan taman haiwan itu, dekat Jalan Gertak Merah, menjadi tempat letak kereta.

“Pada masa ini terdapat sedikit selekoh di jalan raya yang akan diluruskan bagi memberi laluan kepada kawasan letak kereta baru,” kata beliau.

Kajian juga sedang dijalankan untuk meneroka penggunaan tempat meletak kereta di hadapan Masjid Sultan Abu Bakar, walaupun tanah itu milik persendirian.

“Kami juga sedang mengkaji untuk mewujudkan persimpangan pejalan kaki antara kawasan letak kereta ini dengan taman haiwan sebelum safari malam dibuka secara rasmi.”

Encik Mohd Jafni menambah bahawa terdapat rancangan untuk menambahkan 200 tempat letak kereta di tapak Penjara Ayer Molek.

“Kawasan penjara kini berfungsi sebagai kawasan letak kereta utama untuk pengunjung taman haiwan, dengan kira-kira 400 tempat letak kereta disediakan.

“MBJB juga berhasrat untuk mengubah penjara lama menjadi pasar malam bagi melengkapkan safari malam,” kata beliau, sambil menambah bahawa pasar malam itu hanya akan diadakan pada hujung minggu.

Sebelum ini, Encik Onn Hafiz dilaporkan berkata kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan safari malam di Taman Haiwan Johor bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Beliau berkata 500,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa telah melawat taman haiwan itu sejak ia dibuka semula pada 31 Ogos 2024.

Taman Haiwan Johor dibuka semula berikutan kerja-kerja naik taraf RM9.6 juta sejak tiga tahun lalu.

Taman haiwan itu kini mempunyai 373 haiwan daripada 65 spesies. - THE STAR/ASIA NEWS NETWORK

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg