Kerajaan Johor sedang memperhebat usaha menangani isu banjir secara berfokus dan menyeluruh menerusi pelaksanaan projek mitigasi bernilai hampir RM25 juta ($7.5 juta) di lima kawasan berisiko tinggi dalam pentadbiran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata peruntukan tersebut melibatkan sumber daripada kerajaan negeri, MBIP dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), khusus bagi menaik taraf sistem saliran, pembinaan kolam tadahan, tembok penghalang air (flood wall), pintu air (flap gate) dan sistem kawalan banjir lain.
Antara lima kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan panas atau hotspot utama ialah sekitar Jalan Zapin, Kampung Poh Chee Ling, Kampung Laut Batu 10, Batu 8½ Skudai, Taman Damai Jaya dan Taman Syed Idrus.
“Mesyuarat Hotspot Banjir kali ketiga tahun ini (2025) telah membincangkan kemajuan pelaksanaan projek di semua kawasan tersebut.
“Antaranya, projek naik taraf saliran di Batu 8½ Skudai telah dimulakan sejak 16 Jun dan dijangka siap pada Oktober, manakala pembinaan sistem OSD (On-Site Detention) di Jalan Hang Tuah bakal bermula pertengahan Julai ini,” katanya dalam satu kenyataan pada 24 Jun.
Datuk Mohd Jafni berkata projek yang paling hampir siap ketika ini ialah Naik Taraf Parit Utama di Taman Damai Jaya yang telah mencapai 86 peratus kemajuan, sekali gus menunjukkan kemajuan positif dalam usaha mitigasi jangka panjang kerajaan negeri.
Menurutnya, beberapa projek lain seperti di Taman Syed Idrus, Kampung Muafakat dan Taman Skudai Baru pula sedang berada pada peringkat rundingan harga dan penilaian tender sebelum memasuki fasa pelaksanaan tidak lama lagi.
“Isu banjir bukan hanya melibatkan pembinaan infrastruktur semata-mata, malah menuntut perancangan rapi, pemantauan berterusan dan kerjasama erat pelbagai agensi teknikal.
“Saya amat menitikberatkan keberkesanan setiap sen yang dibelanjakan agar memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
Terdahulu, beliau turut melakukan tinjauan di beberapa kawasan terjejas banjir di Kulai termasuk di Taman Damai dan Taman Anggerik.
Beliau berkata lawatan itu bukan sekadar rutin, malah mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam mendengar sendiri keluhan penduduk serta menilai secara langsung keberkesanan pelaksanaan projek.
“Kerja-kerja penambahbaikan sistem saliran dan pembinaan struktur kawalan air sedang giat dijalankan di lokasi strategik bagi memastikan limpahan air hujan dapat dialirkan dengan lebih cekap.
“Inisiatif ini adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan pihak berkuasa tempatan yang komited menjadikan ‘Kulai Sifar Banjir’ sebagai satu kenyataan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg