Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia bangunkan sistem komunikasi Prime hadapi bencana

Jun 17, 2025 | 1:49 PM
M’sia, sistem komunikasi Prime, tangani bencana
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (tiga dari kiri) melancarkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (Prime) untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana dan kecemasan di Malaysia. - Foto FACEBOOK SURUHANJAYA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA

Malaysia meningkatkan sistem komunikasinya untuk kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana dan kecemasan dengan melancarkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (Prime).

Prime, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), berfungsi sebagai sistem sokongan strategik bagi memastikan perkhidmatan komunikasi ketika kecemasan dan bencana dapat diuruskan dengan berkesan, terutama dalam Malaysia berdepan cabaran perubahan cuaca dan iklim.

“Prime merupakan sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaan yang dilengkapi teknologi satelit, selular, radio dua hala, Wi-Fi dan dron.

“Sistem ini berfungsi sebagai sokongan sementara komunikasi yang membolehkan penyampaian maklumat, pengurusan bantuan dan operasi menyelamat dijalankan secara efektif, selaras dengan slogan Prime – Ketersambungan Tanpa Batasan.

“Inisiatif ini turut menyokong program jangkauan digital melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) dan menjadi pemangkin kepada ekosistem komunikasi yang lebih inklusif dan responsif,” jelas SKMM.

Inisiatif strategik untuk membangunkan tiga Prime bagi peringkat awal dengan belanja kira-kira RM1 juta ($301,722) itu dilancarkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Menurut Datuk Fahmi, sistem Prime dapat membantu pasukan penyelamat beroperasi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam situasi kritikal apabila liputan sedia ada terganggu.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia menyaksikan peningkatan insiden, krisis dan bencana sama ada bersifat semula jadi seperti banjir dan tanah runtuh, mahupun bencana buatan (seperti pencemaran dan kebakaran hutan). Situasi ini kadang kala turut menjejas perkhidmatan komunikasi.

“Maka Prime telah dibangunkan sebagai sistem sokongan strategik untuk memastikan keupayaan komunikasi semasa operasi dapat diteruskan,” kata Datuk Fahmi.

Menurut beliau, Prime merupakan sistem komunikasi bersepadu yang telah direka khusus untuk menyokong operasi bantuan oleh SKMM dan pasukan penyelamat ketika operasi.

“Prime membolehkan komunikasi kritikal diteruskan bagi tujuan koordinasi penyelamat, urusan bantuan serta penyampaian maklumat bersama agensi-agensi yang terlibat. Amat penting untuk pastikan tindak balas yang pantas dan berkesan dapat dilaksana.

“Saya harap keupayaan untuk bertindak secara tangkas, selaras dan bersepadu sesama agensi melalui platform komunikasi seperti Prime mampu memberi kesan besar dalam usaha menyelamatkan nyawa dan harta benda,” kata Datuk Fahmi.

Banjir adalah antara bencana yang paling kerap melanda Malaysia yang lazimnya berlaku pada akhir tahun dan menyebabkan kemusnahan harta benda serta kemudahan awam mencecah berbilion ringgit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg