Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor jadi contoh pendekatan tarik sokongan anak muda
Johor jadi contoh pendekatan tarik sokongan anak muda
Politik kebencian semakin ditolak, pengundi lebih mahu tawaran masa depan yang realistik
Johor jadi contoh pendekatan tarik sokongan anak muda
Kejayaan Barisan Nasional (BN) meraih sokongan besar pengundi muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil pendekatan pentadbiran dan kempen yang memberi tumpuan kepada masa depan golongan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah, berkata bagaimanapun pendekatan yang digunakan di Johor tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan negeri lain, termasuk Negeri Sembilan, kerana setiap negeri mempunyai corak pentadbiran dan cabaran berbeza.
Katanya, Johor ditadbir sepenuhnya oleh BN, sekali gus membolehkan kerajaan negeri melaksanakan dasar dan pendekatan tersendiri dalam memenuhi keperluan rakyat.
“Bagi saya, tidak adil untuk kita samakan Johor dengan Negeri Sembilan. Johor ditadbir sepenuhnya oleh Barisan Nasional dan kita mempunyai cara pentadbiran tersendiri.
“Mungkin Negeri Sembilan juga mempunyai pendekatan yang berbeza kerana keadaan politiknya tidak sama,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Beliau, yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan pendekatan BN Johor dijadikan model menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Syed Hussien berkata antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan sokongan pengundi muda di Johor ialah usaha Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang aktif bertemu anak-anak Johor di perantauan, termasuk di Kuala Lumpur.
Menurutnya, pendekatan itu berjaya mewujudkan hubungan lebih rapat dengan golongan muda sekali gus menggalakkan mereka pulang mengundi.
“Hasil pertemuan Menteri Besar dengan anak-anak Johor di perantauan turut menjadi nilai tambah yang mendorong lebih ramai anak muda pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.
Beliau berkata kejayaan pendekatan sebegitu membuktikan bahawa formula yang berkesan tidak salah untuk dijadikan contoh di tempat lain.
“Kalau sesuatu kaedah sudah terbukti berjaya, tidak salah untuk kita mencubanya di tempat lain. Ia bukan sesuatu yang memalukan kerana mungkin boleh menjadi contoh kepada pentadbiran lain,” katanya.
Mengulas corak kempen yang digunakan BN Johor, Syed Hussien berkata pengundi muda kini semakin menolak politik berasaskan kebencian, serangan peribadi dan propaganda.
Sebaliknya, katanya, mereka lebih berminat mendengar tawaran yang mampu menjamin masa depan, termasuk peluang pekerjaan, pemilikan rumah, peningkatan kualiti hidup dan pembangunan teknologi.
“Politik propaganda sudah lapuk. Rakyat sudah melalui pelbagai bentuk pentadbiran dan mereka sudah tahu menilai mana yang benar-benar mampu memberi manfaat.
“Mereka juga sudah muak dengan politik kebencian dan serangan peribadi. Apa yang mereka mahukan ialah tawaran yang realistik dan mampu menjamin masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata, empat perkara utama yang sentiasa menjadi keutamaan pengundi muda ialah peluang memiliki rumah, pekerjaan berkualiti, kehidupan yang lebih baik serta jaringan sosial dan teknologi yang mampu meningkatkan taraf hidup.
