Topik diikuti
Pergi ke BHkuDAP digesa nilai semula kedudukan dalam PH susulan prestasi buruk PRN Johor
DAP digesa nilai semula kedudukan dalam PH susulan prestasi buruk PRN Johor
Setiausaha BN Johor persoal sama ada DAP wajar pikul beban politik gabungan tanpa terima pulangan setimpal dari segi sokongan
DAP digesa nilai semula kedudukan dalam PH susulan prestasi buruk PRN Johor
Barisan Nasional (BN) Johor menggesa Parti Tindakan Demokratik (DAP) menjalankan penilaian menyeluruh terhadap kedudukannya dalam Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan susulan prestasi yang disifatkan mengecewakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Setiausaha BN Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman, berkata keputusan PRN Johor yang menyaksikan PH hanya memenangi lapan daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 12 kerusi pada pilihan raya 2022 wajar dijadikan titik muhasabah kepada gabungan itu.
Beliau berkata DAP sendiri kehilangan empat daripada 10 kerusi yang dipertahankan, manakala PKR hanya berjaya mempertahankan satu kerusi.
“Selepas prestasi buruk pada PRN Sabah 2025, kini datang pula PRN Johor 2026.
“Kalau sekali kalah mungkin boleh dianggap tersadung, tetapi apabila dua kali menerima keputusan buruk, sudah tiba masanya berhenti menyalahkan faktor lain dan melihat kelemahan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada 13 Julai.
Menurut Datuk Abdul Halim, DAP mempunyai organisasi, jentera dan disiplin parti yang tersusun, namun sering dipertanggungjawabkan untuk menggerakkan kempen pilihan raya PH.
Katanya, setiap kali pilihan raya, jentera dan penyokong DAP dikerahkan bagi membantu gabungan itu, namun PKR dan Amanah masih gagal membawa sokongan pengundi Melayu yang mencukupi.
“Apabila tiba musim pilihan raya, jentera DAP bergerak, penyokong DAP keluar bekerja dan pemimpin DAP mempertahankan PH.
“Tetapi apabila sampai kepada soal membawa sokongan pengundi Melayu kepada PH, terutama untuk membantu DAP, PKR dan Amanah masih gagal menunjukkan hasil yang benar-benar meyakinkan,” katanya.
Beliau mempersoalkan nilai tambah rakan-rakan DAP dalam PH sekiranya parti itu terus memikul beban politik gabungan tanpa menerima pulangan setimpal daripada segi sokongan.
Menurutnya, DAP perlu menilai sama ada parti itu masih berada dalam sebuah kerjasama politik yang saling mengukuhkan atau sekadar menjadi tonggak kepada rakan yang semakin menjadi liabiliti.
Dalam masa sama, Datuk Abdul Halim turut membangkitkan semula kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Encik Nga Kor Ming, yang sebelum ini mencetuskan polemik berkaitan kedudukannya sebagai menteri.
Beliau berkata sekiranya pemimpin kanan DAP benar-benar berpegang kepada prinsip yang diperjuangkan, mereka perlu berani mempertimbangkan langkah lebih besar, termasuk menilai semula penyertaan parti itu dalam PH dan Kabinet Persekutuan.
“Kalau benar DAP merasakan agenda reformasi tidak bergerak seperti dijanjikan, sokongan semakin merosot dan mereka pula terpaksa menanggung beban politik pihak lain, apa lagi yang hendak ditunggu?
“DAP selalu mendakwa mereka sebuah parti yang berprinsip. Inilah masanya untuk membuktikannya, bukan sekadar melalui kenyataan media atau janji untuk bermuhasabah,” katanya.
Datuk Abdul Halim berkata, langkah meninggalkan PH sekiranya perlu bukanlah satu kekalahan, sebaliknya boleh membuktikan keberanian parti itu mempertahankan prinsip politik yang selama ini diperjuangkan.
“Kadangkala dalam politik, kehilangan jawatan bukanlah satu kekalahan. Yang lebih memalukan ialah kehilangan prinsip semata-mata kerana terlalu sayangkan jawatan.
“PRN Johor 2026 sepatutnya menjadi loceng amaran kepada DAP untuk bertanya secara jujur sama ada PH masih sebuah perkongsian politik yang saling menguatkan atau DAP sebenarnya sedang menarik gerabak yang semakin berat seorang diri,” katanya.
