Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor jadi negeri pertama diiktiraf Negeri Pintar M’sia

Oct 29, 2025 | 1:03 PM
Johor, negeri, pintar
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (tengah), bersama wakil 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Johor. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

JOHOR BAHRU: Johor melakar sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai negeri pintar pertama di Malaysia, selepas kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu berjaya mencapai sekurang-kurangnya Tahap 1-Smart City Early Adopter dalam penarafan Bandar Pintar Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata pengiktirafan tersebut sekali gus menjadikan Johor mencapai sasaran Pelan Induk Bandar Pintar Johor 2030 lima tahun lebih awal daripada perancangan asal.

“Lebih membanggakan, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mencipta sejarah apabila muncul sebagai PBT pertama di Malaysia mencapai Tahap 3-Leading Smart City, sekali gus mengangkat Johor sebagai peneraju utama agenda bandar pintar negara,” katanya dalam satu kenyataan pada 28 Oktober.

Pengiktirafan tersebut disampaikan sempena Majlis Hari Perancang Bandar Sedunia dan Kongres Perancangan Kebangsaan (NPC) 2025 di Putrajaya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Datuk Mohd Jafni berkata kejayaan itu adalah hasil sinergi antara PlanMalaysia@Johor, portfolio Kerajaan Tempatan Negeri, semua PBT, agensi teknikal, universiti, sektor swasta dengan masyarakat tempatan.

“Di bawah gagasan Maju Johor, agenda bandar pintar bukan sekadar soal digitalisasi tetapi mencerminkan pentadbiran moden yang berasaskan kesejahteraan rakyat dan kemajuan lestari,” katanya.

Antara inisiatif strategik yang dilaksanakan termasuk penubuhan Smart Command Centre di setiap PBT, pemasangan lebih 2,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) pintar di Greater Johor Bahru, pelaksanaan sistem trafik pintar, sensor udara, pendigitalan lesen perniagaan, serta pengurusan sisa pintar berasaskan data dan kecerdasan buatan (AI).

Johor turut giat melaksanakan agenda Johor Green Deal, termasuk memperluas prasarana pengecasan kenderaan elektrik (EV), memperkukuh pengurusan tenaga hijau di bangunan kerajaan, dan memupuk kesedaran masyarakat terhadap gaya hidup rendah karbon.

“Kejayaan ini membuktikan kepimpinan yang berpaksikan visi dan tindakan boleh menghasilkan transformasi besar buat rakyat.

“Ia juga menunjukkan bahawa kemajuan teknologi boleh digerakkan seiring dengan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan sosial,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam kenyataannya berkata kejayaan Johor sebagai negeri pertama diiktiraf Smart City menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi digital negeri.

“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan strategi pelaksanaan di lapangan dan menjadi asas penting untuk memperkasa ekosistem digital serta tadbir urus bandar, sekali gus menyokong pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai enjin pertumbuhan ekonomi serantau,” katanya.

Beliau berharap kejayaan itu akan terus menginspirasikan usaha menjadikan Johor negeri yang maju, makmur dan pintar, demi kesejahteraan seluruh Bangsa Johor.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg