Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RM802j diperuntuk bangun 16 majlis daerah seluruh Johor

Sep 9, 2025 | 1:08 PM
Malaysia, Johor, majlis daerah, Mohd Jafni Md Shukor, Onn Hafiz Ghazi, Draf Belanjawan 2026,
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (tengah), bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan), ketika pembentangan Draf Belanjawan 2026. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM802 juta ($245 juta) di bawah Draf Belanjawan 2026 bagi pembangunan 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata tumpuan khusus akan diberikan kepada sektor pengindahan bandar, rekreasi, pengurusan banjir, Smart City, jalan raya, kemudahan awam dan pelancongan.

Tambahnya, pembentangan yang dibuat di hadapan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pada 8 September bukan sekadar dokumen kewangan, bahkan merupakan amanah rakyat yang diterjemahkan dalam bentuk projek, prasarana dan perkhidmatan demi kesejahteraan hidup Bangsa Johor.

“Sebanyak 82 projek berimpak tinggi dengan nilai RM310.9 juta akan dilaksanakan. Daripada jumlah itu, 22 projek kemudahan awam bernilai RM81 juta; 14 projek pengindahan bandar bernilai RM53.6 juta; 12 projek Smart City bernilai RM18 juta, serta pelbagai projek besar prasarana dan jalan raya bernilai lebih RM115 juta.

“Antara inisiatif yang digerakkan ialah pembinaan dewan, pembaikan pasar, naik taraf gerai, pembinaan gelanggang futsal berbumbung, pembangunan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) , pemasangan lampu jalan pintar, dan Smart CCTV.

“Ini termasuk projek tebatan banjir, kolam tadahan air, serta projek landskap bagi menceriakan bandar. Semua ini bukan angka semata-mata, tetapi jawapan kepada keperluan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 8 September.

Menurut beliau, portfolio perumahan melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) turut kekal sebagai agenda keutamaan.

“Dengan kutipan hasil negeri yang semakin baik, kerajaan bukan sahaja meneruskan program Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Rumah Kasih Johor (RKJ) dan Rumah Prihatin Johor (RPJ), malah memastikan penyelenggaraan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) lebih teratur.

“Matlamat membina 30,000 unit RMMJ menjelang 2026 dan 100,000 unit menjelang 2030 terus menjadi sasaran utama.

“Setiap ringgit yang dibelanjakan adalah amanah rakyat, maka belanjawan ini disusun dengan teliti, berpaksikan keperluan sebenar termasuk kos sara hidup, pengurusan bandar lestari, keselamatan masyarakat dan kelestarian alam sekitar,” jelasnya.

Datuk Mohd Jafni turut menegaskan bahawa konsep Smart City menjadi tonggak penting dalam belanjawan ini, dengan projek seperti Johor Urban Observatory (JUO), pemasangan kamera pintar, Smart Lighting, Smart Traffic Light, serta pendigitalan sistem PBT yang dijangka menjadikan Johor setanding dengan bandar maju di rantau ini.

“Semangat Turun Padang yang menjadi teras kepimpinan Menteri Besar Johor menjadi panduan kita untuk memastikan tiada rakyat dan tiada kawasan yang tercicir.

“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, Draf Belanjawan 2026 ini akan menjadi pemacu baru kepada pembangunan Johor yang menyeluruh, progresif dan sejahtera,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg