Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor jalin kerjasama dengan Stanford, MIT perkukuh ekon digital, inovasi

Sep 30, 2025 | 12:55 PM
Johor, MIT, Stanford
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan), ketika mengadakan lawatan ke Universiti Stanford, Amerika Syarikat. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Dalam usaha membangunkan modal insan serta ekosistem penyelidikan teknologi dan inovasi negeri, Kerajaan Johor telah menjalin kerjasama dengan dua institusi penyelidikan bertaraf dunia iaitu Universiti Stanford dan Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerjasama itu selari dengan nasihat Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, yang menekankan kepentingan kerjasama dengan institusi terbaik dunia bagi memperkasa Bangsa Johor agar lebih berdaya saing.

“Di Universiti Stanford, Johor membincangkan potensi kerjasama dengan Stanford Institute for Human-Centered Artificial Intelligence (HAI) dan Center for Sustainability in Southeast Asia (CSSEA) yang merangkumi bidang kecerdasan buatan (AI), kelestarian dan peralihan tenaga.

“Stanford turut berkongsi model ekosistem penyelidikan yang menjadi asas kejayaan Silicon Valley, sekali gus memberi inspirasi kepada Johor untuk memperkukuh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya dalam satu kenyataan pada 29 September.

Pertemuan dengan MIT pula menumpukan bidang AI, tenaga boleh diperbaharui, bioteknologi, ekonomi digital dan kejuruteraan.

Antara kerjasama yang dibincangkan termasuk memperkukuh fakulti AI serta kejuruteraan di Johor, membangunkan bakat tempatan berkemahiran tinggi, dan mewujudkan ekosistem syarikat pemula berasaskan model kejayaan Kendall Square di MIT.

“Saya yakin kerjasama ini akan memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab pendidikan dan inovasi serantau, sekali gus melahirkan bakat bertaraf dunia, mempercepat kemajuan teknologi dan memastikan manfaatnya benar-benar dirasai rakyat Johor,” katanya.

Sepanjang Lawatan Kerja ke Amerika Syarikat, Datuk Onn Hafiz, bersama delegasi Johor turut mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat teknologi sejagat yang telah melabur dan bakal melabur di Johor.

Antaranya, Super Micro Computer Inc, syarikat gergasi dari Silicon Valley yang membuka hab operasi Asia di Senai Airport City termasuk pusat penyelidikan dan inovasi; Brooks Automation, peneraju automasi semikonduktor yang melabur RM100 juta ($30 juta) di Pasir Gudang; serta Pivotal Systems Corporation, pembekal teknologi kawalan aliran gas yang merancang menubuhkan pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) serantau.

Pertemuan turut diadakan dengan Keysight Technologies yang sedang meneroka peluang pelaburan melalui JS-SEZ, OpenAI Inc yang membincangkan penerapan AI dalam perkhidmatan kerajaan dan ekonomi negeri, serta Bruker Corporation yang berminat mengembangkan operasi analisis saintifik dan diagnostik ke Johor.

“Melalui rangkaian kerjasama ini, Johor diyakini akan terus muncul sebagai destinasi pilihan utama pelabur antarabangsa serta hab teknologi serantau.

“Segala usaha ini diharap memberi limpahan manfaat ekonomi secara langsung kepada rakyat Johor, seterusnya merealisasikan hasrat Johor menjadi negeri maju menjelang 2030,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg