Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor kaji sistem baucar tunai ala S’pura bantu rakyat hadapi kos sara hidup

MB Johor: Sistem dilihat cekap, kurangi risiko ketirisan dengan bantuan sampai terus kepada rakyat
Sep 12, 2025 | 1:38 PM
Johor, sistem baucar, bantu rakyat hadapi kos sara hidup, Onn Hafiz Ghazi
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Kerajaan Johor sedang mengkaji kemungkinan melaksanakan sistem baucar tunai, sepertimana yang digunapakai di Singapura, bagi membantu rakyat negeri itu berdepan dengan tekanan kos sara hidup yang meningkat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata sistem berkenaan dilihat sangat cekap dan mampu mengurangkan risiko ketirisan, sekali gus memastikan bantuan sampai terus kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.

“Kami sedang meneliti amalan yang digunapakai di negara lain, termasuk Singapura. Di sana, sistem baucar tunai terbukti berkesan membantu rakyat dalam pelbagai bidang selain memastikan ketelusan kerana ketirisannya rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor yang ke-15 di Dewan Persidangan Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Kota Iskandar, pada 11 September.

Datuk Onn Hafiz menambah, kerajaan negeri kini sedang melaksanakan 42 inisiatif bantuan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Johor, termasuk mereka yang berada di luar kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Ini sebahagian daripada perancangan jangka pendek yang kita laksanakan segera. Saya berhasrat supaya beberapa inisiatif tambahan dapat diumumkan seawal Oktober ini, diikuti pengumuman lain pada November,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa walaupun pelbagai bentuk bantuan telah dilaksanakan, kerajaan Johor sedar langkah sedia ada masih belum mencukupi. Justeru, pendekatan baru seperti sistem baucar tunai sedang diteliti bagi menambah baik keberkesanan bantuan.

Selain usaha menangani kos sara hidup, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada agenda pembangunan jangka panjang, khususnya dalam bidang perumahan, pengangkutan awam dan peningkatan pendapatan rakyat.

“Namun yang paling penting adalah memastikan pendapatan rakyat Johor meningkat. Untuk itu, kita telah menetapkan dasar gaji premium sebanyak RM4,000 ($1,220) bagi pekerja tempatan melalui pelaburan yang masuk ke negeri ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Datuk Onn Hafiz memaklumkan kerajaan Johor menyalurkan bantuan maksimum RM3,000 kepada setiap keluarga yang terjejas akibat siri gempa bumi lemah yang berlaku di Segamat, dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Sejumlah 62 rumah, dua surau dan sembilan premis kerajaan dilaporkan mengalami kerosakan kecil, namun hasil pemeriksaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan mengesahkan bangunan berkenaan masih selamat digunakan.

Pemeriksaan turut dijalankan ke atas kemudahan kritikal milik KTMB, Petronas, TNB, SAJ Ranhill dan Bakaj, yang didapati berada dalam keadaan baik serta berfungsi seperti biasa.

Siri gegaran bermula pada 24 Ogos dengan magnitud 4.1, sebelum disusuli tujuh gegaran susulan sehingga 3 September dengan magnitud antara 2.5 hingga 3.4.

Walaupun gegaran itu berskala kecil, kerajaan negeri menegaskan kejadian ini wajar ditangani secara serius kerana menimbulkan keresahan masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg