Kerajaan Johor sedang mengkaji kebolehlaksanaan perkhidmatan komuter ulang-alik antara Pasir Gudang dengan Kempas, yang dijangka memberi manfaat kepada mereka yang mahu ke Kuala Lumpur atau Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pendekatan berkenaan dilakukan sebagai usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam di selatan negeri, dengan tempoh percubaan disasarkan bermula pada suku pertama 2026.
“Cadangan awal bagi peringkat percubaan melibatkan empat perjalanan sehari, merangkumi dua perjalanan pada waktu pagi dan dua perjalanan pada waktu petang di antara Stesen Kempas Baru dengan Stesen Pasir Gudang.
“Laluan komuter berkenaan akan berhubung terus dengan Stesen Kempas Baru, sekali gus memberi pilihan kepada penumpang untuk menyambung perjalanan sama ada menggunakan perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) atau komuter ke arah JB Sentral,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Encik Mohamad Fazli menjelaskan perkhidmatan itu dijangka memberi kemudahan khususnya kepada penduduk Pasir Gudang yang bekerja di Singapura, namun pelaksanaannya bergantung kepada jumlah permintaan sebenar yang direkodkan sepanjang tempoh percubaan.
Menurut beliau, perkhidmatan itu akan menggunakan satu set komuter terlebih dahulu sepanjang tempoh percubaan, dengan kapasiti membawa sehingga 360 penumpang bagi setiap perjalanan, tertakluk kepada permintaan pengguna.
“Bagi peringkat kedua pembangunan, kerajaan negeri merancang menambah tiga stesen baru di sepanjang jajaran antara Stesen Kempas Baru dengan Stesen Pasir Gudang dalam tempoh suku kedua dan suku ketiga 2026, tertakluk kepada hasil penilaian fasa awal.
“Buat masa ini, tempoh percubaan hanya melibatkan laluan Kempas Baru dan Pasir Gudang bagi memastikan perancangan dapat dilaksanakan secara berperingkat dan teratur,” katanya.
Menurut Encik Mohamad Fazli, bagi Tahap 1 projek, kerajaan Johor menyasarkan pengoperasian stesen penumpang kereta api di Pasir Gudang dapat dimulakan menjelang Februari 2026, dengan tumpuan utama ketika ini adalah memastikan semua proses perancangan dan pelaksanaan berjalan mengikut jadual.
Beliau menegaskan perbincangan serta penelitian di peringkat tapak amat penting bagi menjamin pelaksanaan projek prasarana yang mampan, selain memastikan manfaat maksimum dapat dinikmati penduduk setempat.
“Inisiatif ini selari dengan komitmen Kerajaan Johor untuk meningkatkan mutu, kecekapan dan kebolehpercayaan sistem pengangkutan awam demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan satu sesi lawatan tapak penting telah diadakan bagi meneliti cadangan stesen serta jajaran Komuter Selatan Kempas-Pasir Gudang, yang disifatkan memerlukan perancangan rapi serta kerjasama strategik pelbagai agensi berkaitan.
Lawatan itu disertai wakil Kementerian Pengangkutan Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor serta Handal Indah Sdn Bhd.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg