Kerajaan Johor telah menempatkan sekurang-kurangnya enam hingga 10 anggota polis pada waktu sibuk bagi membantu mengawal aliran penumpang dan mengekalkan disiplin barisan di kawasan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar.
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata usaha ini adalah sebahagian langkah berterusan kerajaan negeri untuk memastikan pengalaman keluar masuk CIQ lebih lancar, berkesan dan selamat bagi ribuan pengguna setiap hari termasuk warga tempatan serta pekerja Malaysia yang berulang-alik ke Singapura.
“Ini merupakan sebahagian perancangan kerajaan untuk memperbaiki kelancaran pergerakan penumpang bas menerusi pelaksanaan single lane boarding (sistem lorong tunggal) pada waktu sibuk.
“Langkah ini diperlukan kerana terdapat penumpang yang enggan bergerak masuk ke dalam bas ketika waktu sesak kerana memilih tempat duduk, sekali gus melambatkan pergerakan bas dan menyebabkan kesesakan panjang,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Encik Fazli berkata sistem lorong tunggal ini dilaksanakan dari 4 pagi sehingga 8 pagi dan telah dijalankan selama sebulan sejak 22 Oktober dan akan dilanjutkan sehingga 22 Disember untuk menilai keberkesanannya.
“Sekarang penumpang tidak lagi dibenarkan memilih tempat duduk sebelum bas bergerak; mereka semua perlu menaiki bas yang tersedia dan memenuhi kapasiti dengan segera,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Encik Fazli berkata kerajaan Johor juga sedang melaksanakan beberapa tindakan segera bagi menangani isu lampu jalan, pengurusan trafik serta aliran penumpang di pintu masuk negara, khususnya di kawasan bandar raya Johor Bahru sebagai persiapan menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
“Ini termasuk kerja penggantian dan baik pulih lampu jalan di tiga laluan utama iaitu Jalan Lingkaran Dalam, Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) dan Lebuhraya Sultan Iskandar yang kini berada dalam peringkat akhir selepas beberapa bulan diberi keutamaan,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 41 unit lampu jalan dikenal pasti sebagai kritikal dan telah diganti menjelang 15 Disember dengan peruntukan kira-kira RM1.2 juta ($377,698).
“Fokus kita adalah kawasan bandar Johor Bahru, terutama laluan utama yang menjadi pintu masuk negara. Kerja-kerja lampu ini memang rutin, tetapi kali ini kita percepatkan kerana kita mahu bandar dalam keadaan terbaik menyambut Tahun Melawat Johor 2026,” katanya.
Beliau turut menjelaskan status terkini penggantian lampu jalan di tiga bahagian utama sepanjang laluan Perling-Taman Rinting yang sebelum ini mencetuskan rungutan pengguna.
Bahagian pertama dari BHP Perling ke persimpangan Perling sepanjang 1.5 kilometer di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) kini berada dalam keadaan baik dengan semua 52 tiang lampu berfungsi.
Bagi bahagian kedua dari persimpangan Perling ke persimpangan Taman Rinting sepanjang 24.5 kilometer di bawah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), masalah 167 unit lampu yang tidak menyala setakat 21 November telah diselesaikan menjelang 25 November, dengan hanya 10 unit terakhir sedang menunggu penggantian lampu selepas kerja kabel siap.
Bahagian ketiga dari Taman Perling ke laluan MMHE, yang merupakan kawasan projek, masih menggunakan lampu sementara daripada Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dengan 87 tiang lampu beroperasi. Keadaan pencahayaan yang kelihatan malap berpunca daripada jarak tiang yang lebih jauh dan penggunaan lampu sementara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg