Johor sedang mengkaji konsep ‘Sponge City’ atau Bandar Span yang diamalkan di Singapura sebagai langkah jangka panjang bagi menangani masalah banjir di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata konsep itu merupakan pendekatan mesra alam yang membolehkan sistem perparitan semula jadi menampung air hujan dengan lebih baik, sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan pembangunan pesat.
“Konsep bandar span ini memang sudah ada dalam perbincangan di peringkat negeri. Ia sesuai untuk Johor kerana cuaca dan keadaan geografi kita hampir sama dengan Singapura.
“Namun pelaksanaannya perlu diteliti secara menyeluruh kerana ia melibatkan kos penyelenggaraan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan projek naik taraf Jalan Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya di White Hall, Johor Bahru, pada 28 Oktober.
Beliau menjelaskan bahawa sistem parit semula jadi memerlukan penyelenggaraan lebih kerap berbanding parit konkrit, tetapi kelebihannya adalah ia dapat mengawal aliran air bawah tanah dan membantu menstabilkan sistem ekologi setempat.
“Kita sedang menilai sama ada model ini boleh dilaksanakan di Johor dengan mengambil kira keupayaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dasar sedia ada.
“Walaupun kosnya tinggi, manfaat jangka panjangnya besar dalam menangani banjir bandar,” jelasnya.
Encik Mohamad Fazli berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor juga sedang meneliti cadangan mewujudkan penanda aras jalan raya bagi mengukur mutu dan ketahanan jalan di negeri itu berdasarkan faktor cuaca tropika yang sering menjadi punca utama kerosakan prasarana.
“Negara seperti Arab Saudi tidak menghadapi masalah jalan rosak kerana kurang hujan, sedangkan di Malaysia air hujan dan kebocoran paip menjadi musuh utama jalan raya. Sebab itu Johor perlukan penanda aras tersendiri yang sesuai dengan keadaan tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Encik Mohamad Fazli berkata projek naik taraf Jalan Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya sepanjang 2.2 kilometer telah siap sepenuhnya pada 22 Ogos 2025 dengan kos lebih RM41 juta ($12.6 juta)
Projek yang dimulakan pada 2018 itu melibatkan naik taraf jalan daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala bagi meningkatkan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna.
“Saya amat berbesar hati dapat menyerahkan projek ini kepada kerajaan negeri hari ini. Ia akan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dan menjadi sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri dalam agenda Johor Berkemajuan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri dan Kementerian Pengangkutan Malaysia sedang menilai langkah memperkukuh pengangkutan awam di Johor Bahru.
Ini termasuk pelaksanaan Bas Berhenti-Henti (SBST) Tahap 2 dengan 28 laluan baru dan 254 bas, pembinaan lorong khas bas (Bus Lane) di Jalan Tebrau dan Jalan Skudai, serta pelaksanaan perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) menggunakan 100 van elektrik bagi menghubungkan 10 kawasan ke JB Sentral.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg