Inisiatif Single Lane Activation (sistem lorong tunggal) bagi penumpang bas Causeway Link di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang bermula pada 21 Oktober lalu menunjukkan kesan positif dalam mengurangkan kesesakan dan mempercepatkan pergerakan penumpang di pintu masuk utama Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata inisiatif itu memperkenalkan sistem baru yang mana penumpang tidak lagi dibenarkan memilih tempat duduk sebelum bas bergerak.
“Langkah ini diambil kerana sebelum ini, ramai penumpang sanggup menunggu bas lain semata-mata untuk mendapat tempat duduk, menyebabkan kesesakan di kawasan menunggu.
“Sekarang semua perlu menaiki bas yang tersedia dan memenuhi kapasiti dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan pada 22 Oktober.
Beliau yang turut melakukan tinjauan inisiatif berkenaan berkata hasil pelaksanaan sistem lorong tunggal itu, kesesakan di terminal berkurangan dengan ketara, dan pergerakan keluar-masuk penumpang menjadi lebih lancar.
“Inisiatif ini masih dalam fasa percubaan selama sebulan, dan kita akan menilai keberkesanannya sebelum pelaksanaan sepenuhnya,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), polis, Rela serta pengendali bas Handal Indah atas pelaksanaan pantas dan kerjasama baik di lapangan.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan penggunaan kod respons pantas (QR) melalui Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) bagi penunggang motosikal turut menunjukkan peningkatan, dengan lebih 3,000 pengguna baru direkodkan setakat minggu ini.
“Sebanyak tujuh kaunter MyNIISe kini beroperasi seperti MyBorderPass dan berjaya mengurangkan kesesakan di Zon C. Empat lagi unit tambahan akan dipasang dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 31 Oktober,” katanya sambil menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda positif dalam usaha mempercepatkan urusan sempadan.
Encik Mohamad Fazli menegaskan bahawa langkah itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan Johor dalam mencari penyelesaian pantas dan cekap terhadap isu kesesakan di sempadan, dengan keutamaan diberikan kepada keselesaan rakyat dan pengguna harian Johor-Singapura.
Dalam perkembangan lain, beliau turut meninjau Projek Pembinaan Jambatan Konkrit Menggantikan Jambatan Besi Sedia Ada di Jalan Gelang Patah–Pendas, yang kini mencatat kemajuan fizikal 74 peratus setakat 15 September 2025, dan dijangka siap pada 31 Oktober 2025.
Menurutnya, projek di bawah Peruntukan Negeri itu merupakan inisiatif penting Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru bagi menyediakan prasarana lebih moden, kukuh dan selamat untuk penduduk setempat.
“Isu kesesakan lalu lintas di kawasan pembinaan turut mendapat perhatian dan hasil perbincangan dengan UEM Sunrise, pembinaan lampu isyarat baru akan disiapkan serentak dengan projek jambatan bagi melancarkan pergerakan trafik,” katanya.
Beliau menambah, kerja menaik taraf sistem saliran dan ‘crossing culvert’ juga akan dijalankan oleh Unit Penyelenggaraan JKR selepas projek jambatan selesai, bagi mencegah risiko banjir di kawasan berkenaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg