Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan Johor bincang transformasi ekonomi bersama Philip Yeo

Sep 2, 2025 | 5:32 PM
MB Johor, transformasi ekonomi, Philip Yeo
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri), menyerahkan cenderamata berupa peta Johor kepada mantan pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) Singapura, Encik Philip Yeo. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, telah mengadakan pertemuan dengan tokoh ekonomi terkemuka Singapura, Encik Philip Yeo, yang merupakan mantan pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), bagi membincangkan hala tuju transformasi ekonomi Johor.

Datuk Onn Hafiz, dalam satu kenyataan pada 2 September, berkata pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Presiden serta Pengerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala, serta pasukan Pemandu Associates.

Tambahnya, pertemuan itu amat positif dengan tumpuan diberi kepada strategi sejagat dalam meletakkan Johor sebagai hab pelaburan berimpak tinggi.

“Antara fokus utama ialah pembangunan bakat tempatan, peningkatan latihan tenaga kerja, serta kerjasama erat dengan sektor swasta bagi memperkukuh daya saing Johor di peringkat antarabangsa.

“Kami turut membincangkan kepentingan menarik pelabur sejagat dalam memperkukuh ekosistem pelaburan negeri, khususnya melalui pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang berpotensi menjadi pemangkin utama dalam landskap ekonomi serantau,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut beliau, kedudukan Johor yang strategik dalam konteks geopolitik semasa, memberi kelebihan besar untuk negeri ini.

“Dengan pendekatan two-wings model, Johor menyediakan keluasan tanah dan peluang pembangunan, manakala Singapura membawa modal serta kepakaran, kededua negara mampu mewujudkan kerjasama saling melengkapi, memberikan manfaat ‘menang-menang’ kepada rakyat di kedua-dua belah sempadan,” jelasnya.

Menteri Besar turut merakamkan penghargaan kepada Encik Yeo atas kesudian berkongsi pandangan, pengalaman, dan nasihat beliau yang disifatkan amat berharga.

“Semoga panduan ini menjadi inspirasi dan pendorong utama bagi Johor untuk terus melangkah maju, bersaing di pentas sejagat dan memastikan manfaat pembangunan dinikmati oleh seluruh rakyat, insya-Allah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Datuk Onn Hafiz memaklumkan bahawa kerajaan Johor telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM11 juta ($3.3 juta) bagi memperkukuh institusi keluarga, memperkasa peranan wanita serta melindungi masyarakat daripada cabaran sosial semasa.

Tambahnya, inisiatif berkenaan telah disampaikan melalui Program Pesona Keluarga Johor 2025, yang dirasmikan di Bakri Junction Ballroom, Muar, pada 30 Ogos.

Beliau berkata program anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) itu bukan sekadar inisiatif biasa, tetapi manifestasi kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan keluarga dan masyarakat terus terjamin.

“Program ini dirangka untuk memperkukuh institusi keluarga, meletakkan wanita sebagai benteng utama dan pencetus perubahan sosial, serta memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM300 bantuan tunai one-off (sekali sahaja) disalurkan kepada lebih 16,000 ibu tunggal di Johor dan RM300 bantuan tunai one-off kepada lebih 18,000 pesakit barah wanita. Selain itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi memperkukuh program pemerkasaan ekonomi wanita.

Dalam majlis berkenaan, Datuk Onn Hafiz turut menyampaikan beberapa sumbangan penting termasuk Skim Bantuan Peralatan Perniagaan, Sumbangan Tunai Anak Angkat Makmur Johor (AMJ), Hadiah Kecemerlangan Pelajar (AMJ), serta penyerahan Kad orang kurang upaya (OKU) baru berteknologi kod QR.

“Semua inisiatif ini digerakkan bagi memperkukuh kesejahteraan keluarga, memperkasa wanita, menyokong pelajar, dan membela golongan rentan di negeri Johor,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg