ALOR SETAR: Bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah di Kedah terus bertambah kepada 1,359 mangsa daripada 436 keluarga setakat pagi 30 September.
Penambahan jumlah mangsa banjir itu disebabkan gelombang kedua banjir yang berlaku berikutan limpahan air sungai.
Keadaan itu menyebabkan kebanyakan mangsa terdiri daripada penduduk yang sudah pulang ke rumah akibat banjir minggu lalu terpaksa berpindah semula ke PPS apabila rumah mereka dinaiki air semula.
Jumlah mangsa itu meningkat berbanding 1,102 mangsa daripada 353 mangsa yang dilaporkan pada malam 29 September, lapor Berita Harian Malaysia.
Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan daerah Pokok Sena mencatatkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 734 mangsa daripada 231 keluarga setakat ini di lima PPS di daerah itu.
Ini diikuti dengan daerah Kota Setar yang menempatkan seramai 341 mangsa daripada 107 keluarga di tiga PPS manakala Kubang Pasu pula membabitkan 284 mangsa daripada 98 keluarga di tiga PPS.
Sebelum ini, banjir di Kedah dilaporkan mulai susut pada 24 September dengan bilangan mangsa terjejas mencatat penurunan.
Sementara itu, Pengarah JKM Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin, berkata bilangan mangsa banjir terus bertambah ketika ini adalah disebabkan gelombang kedua banjir dan semua agensi yang terbabit menjalankan peranan masing-masing bagi membantu mangsa.
“Penduduk yang terjejas banjir dinasihatkan berpindah ke PPS berhampiran,” katanya ketika dihubungi pada 30 September.
Dalam pada itu, maklumat Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan, empat sungai di tiga daerah di Kedah terus mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya.
Antara sungai terbabit adalah Sungai Padang Terap di Kepala Batas dan Sungai Bata di daerah Kubang Pasu manakala Sungai Anak Bukit di Taman Aman di daerah Kota Setar dan Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang di daerah Pendang.
Semua sungai itu menunjukkan trend paras air meningkat setakat ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg