Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor komited capai sasaran 100,000 unit rumah mampu milik jelang 2030

Jul 2, 2025 | 11:46 AM
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (kanan), ketika mempengerusikan mesyuarat Rumah Kasih Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (kanan), ketika mempengerusikan mesyuarat Rumah Kasih Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

Kerajaan Johor terus melaksanakan pelbagai langkah agresif bagi mempercepatkan pembangunan rumah mampu milik menerusi pendekatan bersepadu dan penyelesaian ‘luar kotak’, demi memastikan rakyat negeri itu memiliki kediaman selesa dan terjamin.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata inisiatif seperti sesi libat urus ‘Planning Design Review Committee’ (PDRC) menjadi antara pemacu utama kepada kelancaran projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

“Sehingga kini, 30 sesi PDRC telah diadakan di seluruh 10 daerah di Johor, melibatkan 119 pemaju, 150 projek perumahan serta 16 pihak berkuasa tempatan (PBT).

“PDRC ini bukan sahaja mempercepatkan proses kelulusan dan pelaksanaan tapak, malah membantu menyelaras isu-isu teknikal serta membina sistem pemantauan dan komunikasi dua hala yang lebih berkesan antara pemaju, agensi teknikal dan PBT,” katanya dalam satu satu kenyataan pada 2 Julai.

Datuk Mohd Jafni berkata pendekatan itu seiring dengan misi Kerajaan Negeri Johor untuk mencapai sasaran 100,000 unit RMMJ menjelang 2030 seperti yang digariskan dalam prinsip pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi – ‘Melaksanakan Janji’.

Menurut Datuk Mohd Jafni, pendekatan kerja yang menekankan prinsip turun padang, kerja berpasukan, penyelesaian kreatif dan pemantauan rapi adalah tunjang kepada kelancaran pelaksanaan projek itu.

“Kita tekad menyelesaikan isu perumahan secara menyeluruh – daripada peringkat perancangan tapak, kelulusan teknikal, kemajuan fizikal, hinggalah kepada pemilihan penerima dan serahan kunci,” ujarnya.

Mesyuarat itu turut meneliti status semasa projek yang sedang berjalan serta mengenal pasti lokasi strategik lain yang berpotensi dimajukan bersama pemaju dan agensi berkaitan.

Dalam usaha memastikan bantuan perumahan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan, Kerajaan Johor turut meneliti dengan cermat proses pemilihan penerima Program Rumah Kasih Johor (RKJ) yang menawarkan rumah percuma kepada rakyat miskin dan terpinggir.

Datuk Mohd Jafni berkata sebanyak 55 calon telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan RKJ 2025, dengan 36 disokong, 18 ditolak, dan satu calon ditangguhkan untuk semakan lanjut.

“Proses ini bukan hanya bersifat pentadbiran, tetapi dijalankan dengan empati dan rasa tanggungjawab tinggi. Rumah yang diberi bukan sekadar tempat berteduh, tetapi simbol maruah dan harapan,” katanya.

Sejak dilancarkan, Program RKJ mencatat pertumbuhan positif. Pada 2023, sebanyak 50 unit rumah bernilai RM6.5 juta ($1.9 juta) telah diserahkan. Pada 2024 ia menyaksikan 120 unit sedang dibina dengan nilai keseluruhan RM17 juta – termasuk 71 unit yang siap pada Jun 2025 dan baki 49 unit dijangka siap Disember 2025.

Bagi 2025, sebanyak 165 unit bernilai RM22 juta sedang melalui fasa siasatan teknikal dan lawatan tapak, dengan pembinaan fasa pertama bermula 15 Mei 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg