Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh langkah ke arah menjadi negeri peneraju teknologi kecerdasan buatan (AI) negara dengan penganjuran Seminar Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam Peringkat Negeri Johor 2025 di sebuah hotel di Johor Bahru pada 13 Oktober.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin, berkata seminar itu menjadi wadah penting dalam memperkukuh kefahaman penjawat awam terhadap pelaksanaan AI secara beretika dan bertanggungjawab.
Menurut beliau, pengadaptasian AI di sektor awam bukan lagi pilihan, tetapi keperluan mendesak bagi mempertingkatkan kecekapan serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“AI membuka lembaran baru dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan. Ia membantu penjawat awam melaksanakan tugasan dengan lebih cekap, telus dan mesra rakyat.
“Memahami serta mengadaptasi teknologi ini secara beretika menjadi kunci kepada pembentukan pentadbiran yang moden dan berwibawa,” katanya ketika berucap merasmikan seminar tersebut.
Encik Aznan menjelaskan, usaha memperkukuh keupayaan digital Johor seiring dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 31 Julai, bertemakan “Melakar Semula Pembangunan”, yang menetapkan hala tuju Malaysia ke arah menjadi negara AI yang terangkum dan mampan menjelang 2030.
“Untuk mencapai cita-cita ini, sektor awam perlu menjadi pemangkin utama dalam pengadaptasian teknologi AI secara menyeluruh. Inisiatif yang diterajui oleh Jabatan Digital Negara dan ICT@Johor membuktikan Johor berada di hadapan dalam gerakan transformasi digital negara,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, negeri itu mempunyai visi jelas untuk menjadi ‘AI brain’ Malaysia melalui pembangunan Pusat Data berteraskan AI bernilai RM10 bilion ($3.07 bilion) hasil kerjasama sektor swasta dengan gergasi cip dunia, Nvidia.
“Projek ini bukan sekadar mercu tanda ekonomi digital, tetapi menjadi nadi utama dalam memperkukuh ekosistem data Johor, selain mempercepat pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang turut menawarkan insentif strategik dalam bidang AI dan rantaian kuantum,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri juga serius dalam membangunkan kemahiran AI dalam kalangan penjawat awam. Sehingga kini, seramai 500 penjawat awam Johor telah dilatih melalui pelbagai program anjuran ICT@Johor dan Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor dengan kerjasama rakan strategik.
Encik Aznan turut memuji langkah Jabatan Digital Negara yang menerbitkan Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam (Gpaisa) pada Februari sebagai panduan utama dalam memastikan penggunaan AI selaras dengan nilai-nilai Madani serta prinsip integriti perkhidmatan awam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg