Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor perkukuh laluan pantas graduan kejuruteraan ke pasaran kerja

Oct 2, 2025 | 1:35 PM
Johor, graduan, lulusan
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin. - Foto FACEBOOK AZNAN TAMIN

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor memperkukuh usaha melahirkan graduan kejuruteraan yang lebih berdaya saing melalui kerjasama strategik Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bersama Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Selatan dan Persatuan Teknologi Malaysia (TAM) Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin, berkata daya usaha itu penting kerana Johor kini menjadi nadi pembangunan ekonomi negara dengan landskap kejuruteraan pesat, khususnya dalam sektor pengilangan, tenaga, automasi, maritim serta hab elektrik dan elektronik.

“Seiring dengan aspirasi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Johor memerlukan golongan jurutera baru yang bukan sahaja mahir secara teknikal, bahkan inovatif serta mampu bersaing di peringkat sejagat.

“Penyediaan laluan latihan industri yang lebih berkesan adalah agenda kritikal bagi memastikan mahasiswa kekal relevan dengan keperluan pasaran kerja,” katanya.

Menurutnya, antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah cadangan kelonggaran bagi mahasiswa menjalani latihan industri pada semester akhir di syarikat di Johor, sekali gus membuka peluang besar untuk diserap terus ke pasaran kerja selepas tamat pengajian.

“Pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan kebolehpasaran graduan, malah membantu Johor memastikan bekalan tenaga kerja mahir mencukupi untuk memenuhi permintaan industri berimpak tinggi di bawah kerangka JS-SEZ.

“Perkara ini kini mendapat perhatian serius pihak BEM yang sedang meneliti langkah ke arah kelulusan,” jelasnya.

Menurut Encik Aznan, peranan JTDC juga akan diperkukuh bagi menyelaras hubungan segi tiga antara universiti, industri dengan pelajar.

Melalui wadah itu, mahasiswa bukan sahaja diberi pendedahan teknikal, bahkan diasah dengan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah.

“Johor yakin kerjasama strategik ini akan melahirkan generasi jurutera tempatan yang holistik, berdaya cipta dan mampu menjadi pemacu utama kemampanan JS-SEZ.

“Usaha ini bukan sahaja menjadikan Johor sebagai hab industri, malah pusat kecemerlangan bakat kejuruteraan yang mengukuhkan kedudukan negeri di pentas serantau dan antarabangsa,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg