JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengukuhkan kerjasama strategik dengan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) bagi memacu sektor pertanian dan meningkatkan kebajikan lebih 80,000 ahli peladang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, berkata perbincangan bersama kepimpinan PPNJ memberi tumpuan kepada perkembangan semasa pertubuhan dan pelaksanaan inisiatif strategik pertanian serta agromakanan.

PPNJ penting sebagai pemacu pembangunan sektor pertanian negeri menerusi pendekatan menyeluruh merangkumi aspek pengeluaran, rantaian nilai, pemasaran dan sokongan teknikal kepada peladang.

Usaha ini penting untuk memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan daya saing sektor pertanian Johor.

“Kerajaan Johor komited meneruskan kerjasama strategik bersama PPNJ bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan pertanian yang mampan dan berimpak tinggi.

“Langkah ini juga diyakini mampu menyumbang secara berterusan kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta kesejahteraan komuniti peladang,” katanya dalam satu kenyataan pada 23 April.

Dalam perkembangan lain, Datuk Zahari Sarip turut merakamkan penghargaan kepada Tok Batin (ketua masyarakat Orang Asli) serta kepimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPPKOA) Negeri Johor atas komitmen dalam menjaga kebajikan komuniti Orang Asli di 60 kampung seluruh negeri.

Pertemuan bersama kepimpinan Tok Batin dan JPPKOA membuka ruang bagi kerajaan negeri mendengar sendiri isu serta keperluan di peringkat akar umbi, di samping memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Komuniti Orang Asli merupakan komponen penting dalam pembangunan negeri yang menyeluruh, khususnya dalam pembangunan desa.

Selaras dengan Agenda Maju Johor, kerajaan negeri komited memastikan komuniti itu tidak tercicir daripada arus pembangunan.

“Pelbagai inisiatif akan dilaksanakan termasuk pembangunan infrastruktur, pemerkasaan modal insan, peningkatan sosioekonomi serta pengukuhan kepimpinan komuniti.

“Dalam masa sama, keunikan identiti, adat dan budaya mereka akan terus dipelihara sebagai khazanah negeri,” tambahnya.

Penglibatan aktif Tok Batin dan kepimpinan masyarakat di peringkat akar umbi menjadi pemangkin penting dalam menjayakan agenda pembangunan itu.