Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor letak sasaran 1,000 stesen pengecasan kenderaan elektrik jelang 2030

Aug 25, 2025 | 3:30 PM
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (empat dari kanan), ketika merasmikan stesen pengecasan kenderaan elektrik di Mersing Harbour Centre.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (empat dari kanan), ketika merasmikan stesen pengecasan kenderaan elektrik di Mersing Harbour Centre. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

Johor kini muncul sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia dalam penyediaan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV), dan kedudukan itu dijangka terus diperkukuh dengan limpahan permintaan daripada negara jiran Singapura yang merancang menghentikan penjualan kenderaan petrol pada 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata pencapaian itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk memacu mobiliti hijau.

“Sehingga Ogos 2025, Johor merekodkan 72 stesen pengecas yang beroperasi dan 13 lagi dalam perancangan, menjadikan jumlah keseluruhan 85 stesen tahun ini (2025).

“Dengan sasaran 1,000 stesen menjelang 2030, pembangunan teknologi mesra alam di Johor juga banyak dipengaruhi oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), termasuk warga Singapura yang semakin beralih kepada kenderaan mesra alam,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Datuk Mohd Jafni juga memaklumkan beliau juga telah merasmikan stesen pengecasan EV yang pertama di Mersing pada 24 Ogos di Mersing Harbour Centre.

Beliau juga berkongsi bahawa perancangan Singapura untuk mencapai 100 peratus penggunaan EV menjelang 2030 juga memberi kesan langsung kepada Johor.

“Ramai pengguna Singapura termasuk pelancong memanfaatkan kemudahan pengecasan di Johor, khususnya di kawasan tumpuan pelancong seperti Mersing. Ini membuka peluang besar kepada negeri untuk memperkukuh peranannya dalam integrasi mobiliti rentas sempadan,” katanya.

Stesen pengecas di Mersing Harbour Centre dilengkapi sistem pengecas pantas DC 200kW yang mampu menyokong empat titik pengecas serentak dan menyediakan jarak perjalanan sehingga 300 kilometer dengan hanya 30 minit pengecasan. Projek ini disiapkan dua kali lebih pantas daripada tempoh biasa, iaitu lima bulan berbanding 9 hingga 11 bulan.

Selain Gentari, usaha ini turut disokong Majlis Daerah Mersing dan selaras dengan agenda Johor Green Deal yang menekankan pengurangan jejak karbon dan penyediaan kemudahan bertaraf antarabangsa.

“Di seluruh negeri, Johor mempunyai lebih 72 titik pengecas di 22 lokasi strategik di bawah Gentari, manakala di bawah Pihak Berkuasa Tempatan Johor terdapat 551 titik pengecas di 159 lokasi, dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri sebagai penyumbang utama,” jelasnya.

Datuk Mohd Jafni berkata faktor geografi Johor memberi kelebihan unik.

“Kedudukan Johor yang bersempadan dengan Singapura menjadikannya hab strategik serantau. Apabila Singapura mencapai peralihan penuh kepada EV, permintaan untuk kemudahan pengecasan di Johor pasti meningkat. Oleh itu, kita mesti sentiasa menambah baik dan menambah kapasiti,” katanya.

Beliau menambah, kerjasama erat sektor awam dan swasta adalah kunci untuk mempercepatkan transformasi tenaga hijau.

“Dengan rangkaian pengecasan yang semakin meluas dan sokongan teknologi hijau, Johor bukan sahaja memenuhi permintaan tempatan tetapi juga bersedia melayani pengguna antarabangsa. Inilah momentum yang akan melonjakkan sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan, seiring aspirasi Johor Maju 2030,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg