Pemaju perumahan di Johor digalak melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyediakan kemudahan masyarakat seperti dewan terbuka, tadika, taman permainan dan surau bagi menyokong agenda pembangunan mapan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata usaha itu telah dibincangkan bersama pemaju dan kini mula menjadi syarat dalam penilaian pelan reka bentuk oleh Jawatankuasa Semakan Reka Bentuk Pelan (PDRC).
Menurutnya, bagi projek perumahan berskala besar, pihak pemaju diwajibkan menyediakan kemudahan awam yang memberi manfaat langsung kepada penduduk.
“Kita telah mula berbincang dengan pemaju supaya mereka menambah baik sumbangan CSR, bukan sekadar taman permainan asas tetapi dinaik taraf dengan kemudahan lebih baik.
“Jika sebelum ini peruntukan hanya sekitar RM50,000 ($15,263), kini kita minta dinaikkan kepada RM100,000. Bagi projek yang lebih besar, CSR ini merangkumi dewan, tadika dan surau,” katanya ketika dihubungi Berita Harian pada 18 Ogos.
Menurut beliau, langkah ini turut selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa projek perumahan berskala 3,000 unit dan ke atas perlu dilengkapi dengan sekolah dan tadika.
“Konsep ini sebenarnya telah diterima pakai di Johor sejak dua tahun lalu, dan setakat ini lebih 10 pemaju telah menyatakan komitmen mereka. Jika dahulu pemaju hanya menyerahkan tanah tanpa membina dewan, kini mereka membina dewan, surau dan ruang terbuka sekali,” katanya.
Datuk Mohd Jafni juga memaklumkan beliau juga telah menghadiri Majlis Penyerahan Dewan Mini Cendana oleh IOI Properties kepada Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) pada 16 Ogos di Jalan Cendana 2, Bandar Putra, Kulai.
Jelasnya majlis itu bukan sekadar simbolik penyerahan kunci dewan baru, tetapi lambang komitmen bersama antara pemaju, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat.
“Projek Rumah Bandar Cendana, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), dibangunkan dengan kos keseluruhan RM45 juta, menawarkan 306 unit rumah berharga RM150,000 seunit. Setakat ini, seramai 263 keluarga telah pun menduduki kediaman berkenaan.
“Lebih membanggakan, pembangunan itu turut dilengkapi kemudahan masyarakat bernilai tinggi. Pihak pemaju menyiapkan sebuah surau dengan kos RM673,000 dan dewan bernilai RM682,000.
“Kedua-dua kemudahan tersebut bakal menjadi pusat pertemuan, aktiviti sosial dan pengukuhan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat,” tambahnya.
Beliau juga berkata beliau yakin dewan itu akan menjadi pusat kegiatan masyarakat, daripada majlis rasmi, program pendidikan, aktiviti belia, hinggalah kepada program kebajikan.
“Inilah yang kita mahu lihat dalam setiap pembangunan perumahan – bukan sahaja rumah yang selesa, tetapi ruang bersama yang mengukuhkan semangat kejiranan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg