Johor lulus 224 lokasi bazar, kenakan tindakan tegas ke atas penglibatan warga asing
Johor lulus 224 lokasi bazar, kenakan tindakan tegas ke atas penglibatan warga asing
Yuran tapak bawah RM500 untuk kekang caj melampau, hapus peranan orang tengah
Kerajaan Johor meluluskan 224 lokasi Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2026 ini dengan menawarkan 13,576 petak perniagaan di serata negeri sebagai usaha memastikan limpahan ekonomi bermusim terus memihak kepada peniaga kecil tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata jumlah petak itu meningkat 819 petak berbanding 12,757 petak di 228 lokasi pada 2025.
Beliau berkata, penstrukturan semula lokasi bazar diatur untuk penganjuran lebih tersusun, bersih dan selamat, sekali gus mengurangkan kesesakan serta gangguan kepada penduduk setempat.
“Ini bukan menyekat rezeki, sebaliknya memastikan setiap bazar berdaya maju, mempunyai kemudahan asas mencukupi serta dipantau rapi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).
Kerajaan negeri turut menetapkan yuran tapak bazar di bawah RM500 ($161) bagi semua PBT di Johor untuk mengekang caj melampau dan menghapuskan peranan orang tengah.
“Ada kawasan majlis daerah mengenakan bayaran serendah RM100 hingga RM300, manakala sebahagian kawasan sekitar RM450 hingga RM500 bergantung kepada lokasi dan kemudahan disediakan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan penglibatan warga asing dalam perniagaan bazar Ramadan dan Aidilfitri adalah dilarang sama sekali.
Larangan ini meliputi semua bentuk penglibatan termasuk sebagai pemilik, penyewa, pengendali, wakil atau proksi.
“Tiada lesen dikeluarkan kepada warga asing. Jika dikesan berlaku pemindahan lesen atau penyewaan kepada pihak ketiga, tindakan tegas akan diambil termasuk pembatalan lesen, sitaan barang dan penutupan gerai tanpa notis,” katanya.
Beliau mendedahkan, pada 2025 sebanyak 11 kes membabitkan warga asing direkodkan di beberapa kawasan termasuk Iskandar Puteri, Batu Pahat, Kluang, Muar dan Pengerang, dengan tindakan sitaan, notis serta denda kompaun sehingga RM1,000 dikenakan.
Pendekatan tegas ini, jelasnya, bertujuan memastikan peluang berniaga kekal menjadi hak rakyat tempatan serta mengelakkan eksploitasi terhadap peniaga kecil.
Dalam perkembangan berasingan, Datuk Mohd Jafni berkata kerajaan negeri juga meneliti isu persaingan perniagaan melibatkan warga asing dalam sektor kedai makan, runcit dan perkhidmatan seperti gunting rambut serta dobi.
Sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi mengkaji semula garis panduan pelesenan di peringkat PBT selepas Aidilfitri.
“Kita dapati ada premis menggunakan nama rakyat tempatan tetapi operasi sebenar dijalankan warga asing sepenuhnya. Jika tidak dikawal, peniaga tempatan akan terjejas dan terpaksa menutup perniagaan,” katanya.
Selain itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah atau puntung rokok merata-rata.
Sehingga 5 Februari, sebanyak 77 notis kesalahan dikeluarkan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, manakala lima kes dibawa ke mahkamah dengan empat pesalah dikenakan denda keseluruhan RM3,000 serta perintah khidmat masyarakat.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memantau operasi bazar sepanjang Ramadan dan menggalakkan orang ramai menyalurkan aduan sekiranya terdapat pelanggaran syarat.
“Pendekatan ini penting supaya bazar kekal sebagai medan rezeki yang bersih, adil dan beretika, sekali gus memperkasa ekonomi akar umbi serta membantu kelangsungan hidup keluarga peniaga kecil,” katanya.

