Lebih 1,500 kamera litar tertutup (CCTV) berasas kecerdasan buatan (AI) kini beroperasi sepenuhnya di Greater Johor Bahru (Greater JB), merangkumi empat kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, pemasangan itu adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh agenda ‘Johor Selamat’ dan ‘Johor Bandar Pintar’.
Pelaksanaan sistem itu di seluruh PBT menjadi langkah awal untuk meningkatkan keselamatan bandar dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau menambah, daya usaha itu bukan hanya retorik pembangunan, malah, komitmen berterusan kerajaan negeri untuk menjamin rakyat Johor hidup dalam persekitaran lebih selamat, teratur, dan sejahtera.
“Penggunaan CCTV berasaskan AI membolehkan pengesanan automatik tingkah laku mencurigakan dan pergerakan luar biasa, sekali gus memberi amaran masa nyata kepada pusat kawalan bagi mempercepatkan tindakan penguatkuasaan.
“Sistem ini turut menyokong pengurusan trafik pintar, pemantauan bencana seperti banjir dan kebakaran, selain menyediakan bukti siasatan yang lebih tepat tanpa bergantung sepenuhnya kepada rondaan fizikal,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Datuk Jafni berkata teknologi itu digunakan bukan sahaja untuk menunjuk kemajuan, bahkan melindungi rakyat.
Bagi masyarakat, CCTV AI bukan soal kamera, tetapi menyemai rasa selamat, sama ada ketika anak ke sekolah, ibu bapa ke pasar, peniaga membuka kedai atau warga emas berjalan di taman.
Beliau memaklumkan sehingga kini, pelaksanaan CCTV AI di Johor menunjukkan pencapaian memberangsangkan khususnya di kawasan Greater JB.
Di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), sebanyak 500 unit telah berfungsi sepenuhnya, manakala 2,000 unit tambahan dijangka mula dipasang pada Mac 2026.
Di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), 490 daripada 500 unit telah beroperasi, sementara di Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), 340 daripada 370 unit telah berfungsi dengan baki selebihnya dalam proses pembaikan.
Bagi Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) pula, sebanyak 202 unit CCTV telah berfungsi daripada keseluruhan 300 unit yang dirancang untuk dilaksana secara berperingkat sehingga 2027.
Datuk Mohd Jafni menegaskan, kerajaan negeri memandang CCTV bukan sekadar projek, malah, sebagai amanah rakyat.
Oleh itu, aspek penyelenggaraan, keselamatan prasarana, penyelarasan pusat kawalan, dan latihan pasukan tindak balas akan terus diperkasa, memastikan setiap unit berfungsi dan membawa manfaat.
Inisiatif itu selari dengan Pelan Induk Bandar Pintar Johor di bawah PlanMalaysia Johor, serta visi negeri untuk menjadi wilayah maju, berdaya tahan, dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pembentangan dan pelaksanaan gerak kerja MBIP membuktikan pembangunan bandar Iskandar Puteri digerakkan secara tersusun, berperingkat, dan dipacu data.
Menerusi Projek Berimpak Tinggi 2026, dengan peruntukan melebihi RM205 juta ($64.9 juta), tumpuan diberikan kepada pengurusan banjir, lampu jalan dan isyarat pintar, pengindahan bandar, sukan dan riadah, jalan raya, kemudahan awam, keselamatan bandar, Bandar Pintar (Smart City), serta pelancongan.
Sembilan lokasi panas banjir dikenal pasti di kawasan MBIP; dua daripadanya telah selesai sepenuhnya, manakala lima lagi projek dijangka siap pada 2026.
Pelbagai projek kemudahan asas, pengindahan bandar, dan inisiatif kelestarian alam sekitar turut dilaksana, memastikan bandar terus berkembang secara mampan dan selesa didiami.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg