Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor mahu JS-SEZ tawar kerja bergaji tinggi, peluang SME berkembang
Usaha pastikan pembangunan negeri kekal seimbang, mampan selaras aspirasi Maju Johor 2030
Johor mahu JS-SEZ tawar kerja bergaji tinggi, peluang SME berkembang
JOHOR BAHRU: Johor mahu memastikan pelaburan yang diterima, terutama menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), membuka lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi kepada penduduk tempatan dan membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) berkembang.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata keutamaan itu turut merangkumi usaha memastikan pembangunan negeri kekal seimbang dan mampan, selaras dengan aspirasi Maju Johor 2030.
Menurutnya, ekonomi Johor berkembang 8 peratus pada 2025, tertinggi di Malaysia, di samping mencatat pencapaian pelaburan yang memberangsangkan.
“Namun, kita tidak boleh terlalu selesa dengan kejayaan hari ini.
“Kalau mahukan hasil luar biasa, cara berfikir dan gerak kerja kita juga mesti luar biasa,” katanya dalam kenyataan pada 13 Oktober.
Beliau berkongsi perkara itu selepas menyertai forum bertajuk, Towards a Futuristic Nation: Leadership, Innovation and Transformation (Menuju Negara Futuristik: Kepimpinan, Inovasi dan Transformasi), sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa (iFuture) 2026, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Sidang tersebut menghimpunkan lebih 1,200 pemimpin mahasiswa dari Malaysia dan 53 negara lain untuk bertukar pandangan mengenai kepimpinan, transformasi serta masa depan generasi muda.
Menurut Datuk Onn Hafiz, pembangunan belia akan terus menjadi keutamaan dalam usaha Johor mencapai aspirasi pembangunannya menjelang 2030.
Beliau mahu anak muda melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran supaya dapat merebut peluang daripada kepesatan pembangunan negeri serta bersedia memikul tanggungjawab kepimpinan.
“Saya mahu anak muda kita bukan hanya menjadi pemerhati kepada perubahan, malah merebut peluang daripada kepesatan pembangunan negeri, melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran serta berani menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin masa depan,” katanya.
Mengenai kepimpinan, beliau berkata perubahan perlu bermula daripada pemimpin sendiri, dengan setiap tanggungjawab dilaksanakan berteraskan integriti, keadilan dan keikhlasan.
Pemimpin ujar beliau, perlu berani membuat perubahan, menunjukkan teladan dan memastikan dasar yang dilaksanakan membawa manfaat kepada masyarakat.
Beliau berharap perkongsian dalam forum itu dapat menyuntik semangat generasi muda agar terus berusaha, mencabar kemampuan diri dan memimpin perubahan.
“Masa depan Johor dan Malaysia bukan hanya bergantung pada apa yang kita bina hari ini, tetapi juga pada generasi pemimpin yang kita lahirkan untuk meneruskannya,” tambah beliau.