JOHOR BAHRU: Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemacu ekonomi Malaysia apabila mencatat kadar pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) tertinggi di Malaysia bagi 2025, iaitu 8.0 peratus, mengatasi kadar pertumbuhan nasional sebanyak 5.2 peratus.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pencapaian itu membuktikan bahawa segala usaha yang dilaksanakan menerusi Agenda Maju Johor 2030 berada di landasan tepat, selain mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri berkenaan.

Beliau berkata kejayaan itu turut memperlihatkan keberkesanan Kerajaan Negeri mewujudkan ekosistem yang sesuai bagi menarik pelaburan bermutu, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, atas nasihat, panduan dan sokongan berterusan dalam memacu agenda pembangunan Johor.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa segala ikhtiar yang dilaksanakan menerusi Agenda Maju Johor 2030 berada di landasan yang tepat.

“Kejayaan ini juga mencerminkan keyakinan berterusan para pelabur terhadap Johor serta keberkesanan usaha Kerajaan Negeri dalam mewujudkan sebuah ekosistem yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi, pelaburan bermutu dan pewujudan peluang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan pada 1 Julai.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, selain Kerajaan Persekutuan, kementerian, jabatan, agensi serta semua pihak yang memainkan peranan dalam menjayakan agenda pembangunan negeri itu.

Menurut beliau, kejayaan itu bukan alasan untuk berpuas hati, sebaliknya menjadi amanah lebih besar untuk terus memperkukuh ekonomi Johor demi manfaat seluruh Bangsa Johor.

“Johor masih mempunyai potensi yang amat besar untuk terus diterokai. Sekiranya terus diberikan mandat dan kepercayaan, kami akan terus bekerja lebih kuat untuk merealisasikan potensi tersebut demi mewujudkan lebih banyak peluang dan kemakmuran yang dapat dinikmati oleh seluruh Bangsa Johor,” katanya.

Sementara itu, Encik Lee yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, berkata Johor kini muncul sebagai negeri dengan pertumbuhan ekonomi terpantas di Malaysia selama dua tahun berturut-turut.

Beliau berkata berdasarkan data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekonomi Johor berkembang 8.0 peratus pada 2025 selepas mencatat pertumbuhan 6.4 peratus pada 2024, mengatasi purata nasional bagi kedua-dua tahun.

Menurut beliau, pencapaian itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil gabungan kepimpinan yang jelas, perancangan strategik, pelaksanaan dasar yang konsisten serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, sektor swasta, pelabur dan penjawat awam.

Katanya, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Johor berjaya menarik pelaburan bernilai ratusan bilion ringgit selain membangunkan industri masa depan.

Ini termasuk kecerdasan buatan (AI), pusat data, semikonduktor, tenaga hijau dan pembuatan berteknologi tinggi, tanpa mengabaikan sektor tradisional seperti pembuatan, logistik, pertanian dan pelancongan.

“Namun, angka GDP bukanlah matlamat utama. Angka ini hanya bermakna jika manfaatnya benar-benar dirasai oleh rakyat.

“Sebab itulah setiap pelaburan yang dibawa masuk perlu diterjemahkan kepada lebih banyak peluang pekerjaan bermutu, pendapatan yang lebih tinggi, peluang perniagaan yang lebih luas, pembangunan prasarana yang lebih baik serta mutu hidup yang terus meningkat untuk seluruh Bangsa Johor,” katanya.