Meskipun mencatat pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) tertinggi di Malaysia pada 2024 – 6.4 peratus – kerajaan Johor sedar masih terdapat rakyat negeri itu yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, khususnya dalam aspek makanan, perumahan dan pengangkutan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Encik Lee Ting Han, berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), tiga komponen ini merupakan bahagian terbesar dalam perbelanjaan isi rumah.
“Kejayaan Johor pada hari ini disokong pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), Zon Kewangan Khas Forest City (SFPZ) dan Program Transformasi Ekonomi Johor (JETP).
“Oleh itu, kerajaan negeri akan memberi tumpuan untuk mengembangkan perumahan mampu milik secara lebih tersasar mengikut keperluan sebenar rakyat, meningkatkan liputan pengangkutan awam, serta menyalurkan bantuan kos sara hidup yang lebih tepat kepada golongan paling terkesan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Encik Lee berkata beliau juga berkongsi pendapat yang sama ketika menghadiri sesi perbincangan kumpulan fokus anjuran Bahagian Perancangan Ekonomi Johor bagi mendapatkan pandangan dan cadangan untuk memperkukuh dasar menangani isu kos sara hidup.
“Seiring dengan pembangunan pesat yang sedang berlaku di Johor, kita perlu memastikan pembangunan bersifat menyeluruh agar tiada rakyat yang tertinggal,” tambahnya.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, yang turut hadir pada sesi berkenaan, menegaskan bahawa kos sara hidup kini menjadi beban yang dirasai hampir semua isi rumah, terutama di bandar dan pinggir bandar yang sedang pesat membangun.
“Tekanan ini semakin dirasai golongan keluarga B40 (bergaji rendah) dan M40 (bergaji pertengahan). Ia melibatkan semua aspek kehidupan, daripada harga barangan mentah hingga sewa rumah, tambang ke tempat kerja dan yuran pendidikan anak,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai langkah seperti memperkukuh program Jualan Kasih Johor, membina lebih banyak Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), memperluas perkhidmatan bas percuma Muafakat Johor, serta menyokong usahawan kecil dan penjaja.
Namun tambahnya, usaha ini perlu ditambah baik dan diselaraskan agar keberkesanannya benar-benar dirasai rakyat.
“Pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat perlu diambil. Kita juga perlu membuat pemetaan kos sara hidup berdasarkan lokaliti, kerana kos hidup rakyat di Kulai, Johor Bahru, Mersing atau Pontian berbeza dan memerlukan pendekatan bersasar,” katanya.
Menurut Datuk Mohd Jafni, bengkel itu dijangka menghasilkan rumusan jangka pendek serta penubuhan Pasukan Petugas Kos Sara Hidup Johor yang berperanan secara lebih formal, dengan pemantauan menyeluruh, pengukuran berkala, dan tindakan rentas sektor yang tegas dan pantas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg