JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menyifatkan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 31 Julai, sebagai dokumen pembangunan nasional yang sepenuhnya selari dengan Agenda Maju Johor dan aspirasi negeri untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Encik Lee Ting Han, berkata RMK13 hadir pada masa tepat ketika Johor sedang mencatat pencapaian ekonomi tertinggi di negara itu, termasuk pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebanyak 6.4 peratus pada 2024.
“Prestasi ini mencerminkan daya saing ekonomi Johor yang kukuh serta keyakinan pelabur terhadap persekitaran pelaburan negeri. RMK13 akan memperkukuh lagi pembangunan pesat Johor melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada 31 Julai.
Beliau berkata pengiktirafan RMK13 terhadap Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) sebagai pemacu utama penyepaduan ekonomi serantau dan pelaburan bermutu tinggi jelas menunjukkan keselarasan antara dasar negeri dengan persekutuan.
Penubuhan Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) pula menjadi pemudah cara pelaburan rentas sempadan yang semakin strategik dalam menarik pelaburan bernilai tinggi.
Menurutnya, RMK13 turut memberi tumpuan pada pembangunan prasarana penting seperti projek Landasan Berkembar Gemas–Johor Bahru, Sistem Aliran Transit Automasi Bertingkat (E-Art) di Wilayah Iskandar dan naik taraf Lebuhraya Plus laluan Senai Utara-Machap.
Projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura pula bakal menjadi pemangkin transformasi pergerakan serantau, mengurangkan kesesakan di sempadan dan meningkatkan penyepaduan ekonomi dua hala.
Encik Lee berkata projek pembesaran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), yang merupakan antara pelabuhan kontena paling sibuk di Malaysia, juga akan meningkatkan kapasiti dan kecekapan pengendalian bagi menyokong pertumbuhan perdagangan maritim rendah karbon.
Langkah itu dijangka akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab logistik serantau.
Dalam aspek kesejahteraan rakyat, RMK13 turut memperuntuk pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2) di Johor Bahru yang bakal mengurangkan kesesakan di hospital sedia ada, memperluas akses kepada rawatan pakar dan meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di negeri itu.
Selain itu, Johor mengalu-alukan penekanan terhadap adaptasi kecerdasan buatan (AI), pembangunan prasarana digital dan pusat data yang seiring dengan kelebihan negeri sebagai destinasi pilihan pelaburan teknologi tinggi.
“Johor kini berada di barisan hadapan industri pusat data, pelaburan digital, tenaga boleh baru dan industri semikonduktor bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata inisiatif pengukuhan ekonomi hijau serta Pelan Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) juga sejajar dengan agenda kelestarian negeri, termasuk pembangunan sistem grid pintar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dan kecekapan penggunaan air.
Johor turut menyambut baik pengiktirafan negeri itu sebagai salah satu Zon Pelaburan Pelancongan Strategik (STIZ), yang akan memperkukuh sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Langkah itu akan menjadikan pelancongan sebagai penyumbang utama kepada GDP negeri.
“Kami yakin pelaksanaan RMK13 yang terangkum dan strategik ini akan melonjakkan potensi Johor ke tahap lebih tinggi, mempercepat pencapaian status negeri maju, dan membawa manfaat terus kepada rakyat serta ekonomi Malaysia secara keseluruhan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg