Kerajaan Johor menafikan laporan kononnya terdapat tawaran rumah percuma kepada warga asing, sambil menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah satu penipuan dan tidak pernah wujud dalam dasar perumahan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata Johor tidak pernah dan tidak akan menawarkan rumah percuma kepada warga asing.
Sebaliknya, rumah percuma hanya disediakan khusus untuk golongan miskin tegar di bawah inisiatif Rumah Kasih Johor (RKJ).
“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM67.5 juta ($20.5 juta) untuk melaksanakan program ini dengan sasaran pembinaan 500 unit RKJ sehingga 2026.
“Tujuan utama ialah memastikan keluarga miskin tegar mendapat tempat tinggal selesa dan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan pada 5 September.
Datuk Mohd Jafni menjelaskan, bagi warga asing khususnya dari Singapura yang mahu membeli rumah di Johor, Kerajaan Negeri telah menetapkan harga lantai sebanyak RM1 juta ke atas untuk kediaman.
“Dasar ini kekal sebagai langkah melindungi kepentingan rakyat tempatan serta memastikan rumah mampu milik terus menjadi keutamaan buat rakyat Johor,” jelasnya.
Beliau berkata sehingga Jun 2025, sebanyak 17,745 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dengan harga antara RM42,000 hingga RM300,000 telah berjaya diserahkan kepada rakyat.
Tambahnya langkah itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menyediakan kediaman yang mampu dimiliki rakyat sendiri.
“Pada 2023, saya sendiri telah mengesan kes penipuan scam perumahan yang melibatkan kerugian kira-kira RM155,000 dengan 19 laporan polis dibuat.
“Kejadian ini menjadi peringatan kepada rakyat supaya lebih berwaspada terhadap tawaran meragukan dan sentiasa merujuk kepada saluran rasmi Kerajaan Negeri,” tegasnya.
Menurutnya, keutamaan perumahan di Johor adalah buat rakyat Johor, selaras dengan aspirasi Maju Johor 2030.
Datuk Mohd Jafni mengulas laporan Channel News Asia (CNA) mengenai amaran yang dikeluarkan Pasukan Polis Singapura (SPF) berhubung penipuan “Program Subsidi Perumahan Johor-Singapura” yang sedang tular dalam talian.
Menurut laporan itu, iklan berkenaan kononnya memaparkan kerjasama pemerintah Singapura dan Johor bagi menyediakan perumahan bersubsidi, lengkap dengan pautan palsu untuk permohonan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg