Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor pasang 3,833 lampu jalan kampung berkuasa suria di enam daerah
Projek dilaksanakan bagi menangani jalan gelap dan meningkatkan keselamatan penduduk
Johor pasang 3,833 lampu jalan kampung berkuasa suria di enam daerah
SEGAMAT (Johor): Sebanyak 3,833 unit lampu jalan kampung akan dipasang di enam daerah di Johor secara berperingkat-peringkat antara September dengan November ini.
Daerah yang terlibat ialah Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Tangkak dan Muar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Encik Md Israk Abdullah, berkata kerajaan negeri itu memperuntukkan RM10 juta ($3.1 juta) bagi pemasangan 3,333 Lampu Jalan Kampung bertenaga suria dalam fasa pertama projek itu.
Sebanyak 500 unit tambahan pula akan dipasang menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Inisiatif ini lahir daripada luahan, aduan dan maklum balas rakyat Johor, khususnya berkaitan keadaan jalan kampung yang gelap serta kebimbangan terhadap keselamatan penduduk pada waktu malam.
“Masalah yang dibangkitkan telah dibawa dan dibincangkan melalui Mesyuarat Tindakan Dewan Undangan Negeri sebelum diterjemahkan kepada tindakan di lapangan,” katanya dalam kenyataan pada 15 September.
Encik Md Israk berkata kemudahan tersebut akan meningkatkan tahap pencahayaan di jalan kampung, sekali gus memberikan persekitaran lebih selamat kepada penduduk yang keluar bekerja, pulang ke rumah atau menjalankan kegiatan pada waktu malam.
Penggunaan lampu bertenaga suria itu juga membolehkan kemudahan pencahayaan disediakan di kawasan yang memerlukan, tanpa terlalu bergantung pada sambungan bekalan elektrik biasa.
Beliau berkata pelaksanaan projek merangkumi kerja penggalian, pemasangan tiang dan pemasangan lampu bertenaga suria.
Encik Md Israk turut meninjau perkembangan projek fasa pertama di Kampung Mensudut Lama dan Kampung Gelang Chinchin di Segamat.
“Saya melihat sendiri proses pelaksanaan di lapangan, bermula daripada kerja penggalian dan pemasangan tiang sehinggalah pemasangan lampu bertenaga suria,” katanya.
Menurut beliau, projek itu mencerminkan usaha kerajaan negeri itu memastikan pembangunan serta kemudahan asas tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.
Sebaliknya, penduduk kampung dan kawasan luar bandar juga perlu menikmati kemudahan yang dapat meningkatkan keselamatan serta mutu kehidupan harian mereka.
Encik Md Israk berkata pelaksanaan semasa merupakan fasa pertama dan akan diperluas secara berperingkat-peringkat ke kawasan lain yang dikenal pasti memerlukan kemudahan tersebut.
“Kerajaan negeri akan terus memastikan pembangunan dan kemudahan asas dapat dinikmati secara lebih menyeluruh. Usaha ini akan diperluas secara berfasa supaya lebih ramai penduduk Johor di kawasan yang memerlukan dapat menerima manfaatnya,” katanya.

