Penggunaan lampu berkuasa solar di lebuh raya bagi meningkatkan keselamatan pengguna pada waktu malam wajar dikaji dan pemasangannya tidak seharusnya dilakukan secara menyeluruh tanpa mengambil kira tahap risiko dan keberkesanan kos.

Pengasas dan Penasihat Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Encik Jamil Manan Supri berkata pencahayaan yang mencukupi boleh meningkatkan jarak penglihatan pengguna serta memberi amaran lebih awal mengenai keadaan jalan, selekoh, objek, kenderaan rosak dan lokasi berisiko tinggi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pemasangan lampu solar di sepanjang setiap kilometer lebuh raya mungkin tidak menjadi penggunaan sumber kerajaan yang paling berkesan.

Sebaliknya, lokasi yang mempunyai risiko keselamatan lebih tinggi perlu diberikan keutamaan.

Proses pemasangan panel lampu solar di Tanjung Langsat, Pasir Gudang.
Proses pemasangan panel lampu solar di Tanjung Langsat, Pasir Gudang. - Foto FACEBOOK MAJLIS BANDARAYA PASIR GUDANG

Antaranya ialah kawasan kerap berlaku kemalangan, selekoh kritikal, persimpangan, susur masuk dan keluar, lokasi kenderaan sering rosak atau berhenti kecemasan, jambatan, plaza tol, kawasan rehat dan rawat serta zon kerja jalan raya.

“PPKJR menyokong penggunaan teknologi suria untuk meningkatkan keselamatan lebuh raya, tetapi pelaksanaannya mestilah berasaskan data dan risiko.

“Persoalannya bukan berapa banyak lampu yang boleh dipasang, tetapi di mana pencahayaan dapat memberi kesan keselamatan terbesar serta nilai terbaik daripada pelaburan yang dibuat,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Encik Jamil berkata penilaian terhadap kos lampu suria juga tidak boleh dibuat hanya berdasarkan harga pembelian dan pemasangan.

Sebaliknya, kerajaan perlu mengambil kira keseluruhan kos sepanjang tempoh penggunaan sistem, termasuk panel suria, bateri, tiang, penyelenggaraan, penggantian bateri, kerosakan dan vandalisme.

Prestasi sistem ketika musim tengkujuh atau tempoh cuaca mendung yang berpanjangan juga perlu dinilai.

Menurut Encik Jamil, perbandingan wajar dibuat dengan sistem pencahayaan biasa dengan mengambil kira kos pemasangan kabel, bekalan elektrik, penyelenggaraan dan penggunaan tenaga.

Beliau turut mencadangkan kerajaan melaksanakan projek perintis lampu suria di beberapa lokasi berisiko tinggi terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada penggunaannya wajar diperluaskan.

Keberkesanan projek perintis itu boleh dinilai berdasarkan perubahan kadar kemalangan, tahap pencahayaan, prestasi sistem, kos penyelenggaraan, penjimatan tenaga serta penerimaan dan perubahan tingkah laku pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan bahawa pencahayaan lebih baik tidak bermakna pengguna boleh memandu lebih laju atau mengurangkan tahap kewaspadaan.

Menurutnya, terdapat kemungkinan sesetengah pemandu menganggap lebuh raya yang terang sebagai lebih selamat, lalu meningkatkan kelajuan atau menjadi kurang berhati-hati.

“Kecekapan, disiplin dan sikap pemandu kekal sebagai antara faktor utama yang menentukan keselamatan jalan raya,” katanya.

Pemandu masih perlu mematuhi had laju, menjaga jarak selamat, tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta mengelakkan pemanduan ketika letih atau mengantuk.

Encik Jamil juga menegaskan lampu suria bukan penyelesaian tunggal kepada masalah keselamatan jalan raya.

Terdahulu, Kerajaan Malaysia memperuntukkan RM25.2 juta ($7.8 juta) bagi fasa awal pemasangan lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar di 32 lokasi berisiko tinggi dan kerap berlaku kemalangan di rangkaian lebuh raya seluruh negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata inisiatif di bawah Program Pantau Madani itu melibatkan pemasangan sebanyak 3,000 tiang lampu bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya di lokasi yang telah dikenal pasti.