KLUANG (Johor): Seramai 86 penduduk di Kampung Orang Asli Berasau bakal menikmati manfaat bekalan tenaga alternatif menerusi pemasangan sistem solar luar grid bagi mengatasi kekangan ketiadaan bekalan elektrik di kawasan pedalaman itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kebanyakan penduduk kampung suku kaum Jakun itu bergantung hidup kepada pertanian, perikanan sungai, dan hasil hutan.

Menurut beliau, kerajaan negeri, dengan sokongan Persekutuan, komited memastikan pembangunan tersusun dan menyeluruh.

Ini penting agar masyarakat pedalaman juga dapat menikmati kemajuan negeri.

Pemasangan sistem solar luar grid ialah daya usaha utama kerajaan agar penduduk mendapat akses kepada bekalan tenaga, tambah beliau.

“Usaha ini mencerminkan pendekatan proaktif kerajaan negeri dalam mencari penyelesaian praktikal dan berimpak tinggi.

“Ia sekali gus membuka akses kepada tenaga yang mampu menyokong pembelajaran anak-anak, kegiatan ekonomi dan kehidupan harian penduduk,” katanya dalam satu kenyataan pada 20 April.

Datuk Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri turut memperluas pelbagai usaha lain.

Usaha itu termasuk pembangunan prasarana asas, bantuan kebajikan, pendidikan, keusahawanan, serta pemerkasaan masyarakat Orang Asli di seluruh Johor.

Menurut beliau, usaha berkenaan membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan tiada masyarakat yang tercicir daripada arus pembangunan negeri dan negara.

Beliau berharap pelaksanaan projek dan inisiatif itu memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk Kampung Orang Asli Berasau.

Ia juga diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan mampan masyarakat Orang Asli di Johor.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, merasmikan projek berkenaan.

Beliau berkata projek di Kampung Orang Asli Berasau itu inisiatif penting dalam memperkukuh agenda peralihan tenaga negara.

Ia khususnya bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada menikmati kemudahan asas.

Lebih 20 rumah serta kemudahan masyarakat di Kampung Orang Asli Berasau kini menikmati bekalan elektrik 24 jam.

Ia hasil pelaksanaan Projek Kampung Angkat Madani oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Menurut beliau, pembinaan balai raya berbumbung solar dengan sistem fotovolta luar grid telah membekalkan elektrik yang stabil, cekap dan lestari kepada kampung itu.

Sistem solar yang dipasang berkapasiti melebihi 50 kilowatt puncak dengan penyimpanan tenaga sebanyak 516 kilowatt jam.

“Lebih 20 rumah serta kemudahan masyarakat di Kampung Orang Asli Berasau kini menikmati manfaat daripada sistem solar ini.

“Ini membuktikan tenaga bersih mampu menjadi penyelesaian berkesan, walau di kawasan yang jauh daripada liputan grid utama,” tambahnya.

Datuk Fadillah turut memaklumkan, projek itu dilaksanakan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, dengan kerjasama pelbagai agensi Persekutuan dan kerajaan negeri Johor, melalui pendekatan seluruh kerajaan.

Menurut beliau, projek tersebut bukan sahaja meningkatkan mutu hidup masyarakat Orang Asli selaras aspirasi Malaysia Madani, malah mencerminkan komitmen kerajaan menjamin keadilan sosial, keterangkuman dan kelestarian dinikmati semua rakyat tanpa mengira lokasi.

“Usaha seumpama ini akan terus diperluaskan demi masa depan negara yang lebih mampan dan sejahtera,” katanya.