Johor sasar 100,000 rumah mampu milik jelang 2030

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor sasar 100,000 rumah mampu milik jelang 2030

Pelbagai bantuan perumahan, perkasa belia diperkukuh di bawah agenda Maju Johor
Feb 20, 2026 | 11:55 AM

Johor sasar 100,000 rumah mampu milik jelang 2030

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
johor, rumah, mampu milik, 2030
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Kerajaan Johor terus memperkukuh agenda perumahan rakyat melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) bagi memastikan setiap keluarga memiliki kediaman selesa dan selamat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata di bawah agenda besar Perumahan Kasih Johor, kerajaan negeri menyasarkan pembinaan 100,000 Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang 2030.

Menurut beliau, lebih 20,000 unit rumah mampu milik telah siap dibina dalam tempoh 2022 hingga 2025.

“Usaha ini diperkukuh melalui beberapa inisiatif termasuk Bantuan Beli Rumah Pertama sebanyak RM5,000 ($1,616) kepada 20,000 penerima, bagi menampung kos guaman, pinjaman dan duti setem.

“Kita juga menyediakan Bantuan Masuk Rumah RM2,000 yang diperluaskan kepada golongan M40 yang membeli rumah berharga RM500,000 dan ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan pada 20 Februari.

Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan subsidi bina baru sehingga RM30,000, bagi membantu rakyat membina rumah di atas tanah sendiri, selain menyediakan rumah percuma serta baik pulih kediaman daif kepada keluarga miskin dan miskin tegar.

Datuk Onn Hafiz berkata penyelenggaraan kediaman sedia ada termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Sewa Kerajaan (RSK) dan flat awam turut diberi perhatian bagi memastikan kediaman kekal selamat dan selesa didiami.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi penerima Rumah Kasih Johor bina baru di Kampung Seri Maju Jaya, Machap, serta projek baik pulih di Kampung Setia Jaya di Simpang Renggam.

“Saya melihat sendiri bagaimana dasar ini diterjemahkan dan senyuman penuh syukur pada wajah penerima.

“Setiap inisiatif dirancang agar manfaatnya dirasai secara adil oleh Bangsa Johor,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri turut memperkukuh Agenda Orang Muda Johor sebagai komitmen dasar dalam rangka Maju Johor.

Katanya sesi libat urus bersama golongan muda menjadi platform penting bagi menyelaras peranan serta memastikan suara mereka menjadi sebahagian daripada pembangunan negeri.

“Orang Muda Johor bukan sekadar pemerhati.

“Mereka rakan strategik kerajaan, penghubung antara dasar dengan rakyat, serta antara perancangan dengan pelaksanaan.

“Dalam dunia penuh maklumat tidak sahih, disiplin, integriti dan kematangan, komunikasi amat penting,” katanya.

Beliau menambah Johor kini melalui peringkat pertumbuhan signifikan dengan peningkatan pelaburan, pemerkasaan prasarana serta peluasan agenda sosial.

Sehubungan itu, generasi muda perlu bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemimpin masa depan yang berilmu, berani dan berdaya saing.

“Saya yakin Orang Muda Johor mampu menjadi ejen perubahan positif selari aspirasi Maju Johor yang menyeluruh dan mampan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg