JOHOR BAHRU: Taktik menggunakan kereta buruk yang dijadikan sebagai stor bagi menyimpan lebih 13 kilogram (kg) dadah termasuk heroin, terbongkar dengan penahanan dua suspek dalam operasi khas antidadah lima hari berakhir 19 Mei lalu.
Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya M Kumar, berkata operasi khas itu yang turut melibatkan mata wang Singapura sebanyak $1,422 (RM5,020) serta beberapa kenderaan dirampas polis, diadakan di sekitar bandaraya Johor Bahru, bagi mengekang kes pengedaran dadah di beberapa kawasan yang menjadi tumpuan.
Katanya, dalam serbuan berkenaan dua lelaki tempatan berusia 35 dan 36 tahun yang bertindak sebagai pengedar dadah berjaya ditahan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau berkata, kedua-dua suspek menggunakan modus operandi dengan menjadikan kereta buruk sebagai stor menyimpan dadah sebelum ia dijual kepada pelanggan tetap.
“Taktik menyimpan dadah dalam kereta buruk ini bagi mengaburi pihak berkuasa dan orang ramai yang tidak akan mengesyaki terdapat belasan kilogram dadah termasuk heroin disimpan,” kata Encik Kumar.
“Ia terbongkar selepas seorang daripada suspek berjaya ditahan sebelum membawa kepada penahanan seorang lagi pengedar.”
Encik Kumar berkata, kedua-dua suspek menyimpan bekalan dadah dalam kereta dengan salah sebuah kereta diletakkan di kawasan perumahan. Sebuah lagi kereta diletakkan di belakang sebuah premis di Taman Mount Austin.
“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kereta menemui dadah sebanyak 13.8 kg membabitkan 10.74 kg heroin, 80 gram syabu, 875 gram ganja dan 6,100 biji pil Eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM331,339,” ujarnya lagi.
Encik Kumar menyatakan demikian pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada 23 Mei.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah dadah yang dirampas itu boleh dijual dan digunakan seramai 61,080 penagih.
Katanya, sindiket dadah dari kereta itu dipercayai telah beroperasi sejak Mac lalu.
Selain rampasan dadah, polis juga merampas dua kereta bernilai RM75,000, dua motosikal (RM11,000), wang tunai termasuk mata wang Singapura berjumlah sekitar $1,422 (RM5,020) dan seutas rantai emas (RM3,330).
“Kedua-dua suspek direman sejak 17 Mei lalu sehingga hari ini dan siasatan dibuat menerusi Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan,” katanya.
Dalam pada itu, Kumar memaklumkan sebanyak 2.1 tan dadah berjumlah RM18.79 juta berjaya dirampas dalam operasi antidadah di negeri ini antara 1 Januari sehingga 20 Mei lalu.
“Seramai 10,006 pesalah berkaitan dadah juga telah ditahan dalam tempoh sama dengan harta sindiket dadah yang dirampas membabitkan nilai RM6.34 juta ($1.82 juta),” katanya. – Harian Metro.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg