Insiden serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada awal pagi 17 Mei lalu, yang mengorbankan dua konstabel polis dan mencederakan seorang lagi, telah menggemparkan Malaysia dan mencetus kebimbangan ramai mengenai ancaman pengganasan di negara itu.
Biarpun penyerang telah ditembak mati, siasatan awal polis yang mengaitkan kejadian dengan gerakan Jemaah Islamiyah (JI) yang telah diharamkan di Malaysia, Singapura dan Indonesia, berdasarkan penemuan maklumat terkait JI di kediaman keluarga suspek di Ulu Tiram, menambahkan lagi kegusaran awam.
Apatah lagi Ulu Tiram pada satu masa dulu dilaporkan pernah menjadi ‘medan usrah’ ahli kumpulan JI sekitar 1996 dan 1997.
Kumpulan JI adalah sebuah pertubuhan pelampau yang ditubuhkan pada awal 1990-an untuk membentuk ‘negara Islam’ meliputi selatan Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan selatan Filipina.
Pertubuhan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda ini diasaskan pada 1993 oleh Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar, kededuanya berasal dari Indonesia.
Penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, yang telah mengesahkan hasil siasatan baru bahawa kejadian serangan itu tidak didalangi kumpulan tertentu apatah lagi JI, sedikit sebanyak meredakan keresahan rakyat mengenai ancaman keselamatan negara.
Pengakuan Abu Bakar Bashir, yang menafikan pembabitannya dalam insiden yang meragut nyawa petugas keselamatan itu wajar menjadi ‘ubat penenang tambahan’, sekali gus membuktikan usaha pihak berkuasa ‘melenyapkan’ fahaman JI yang pernah bertapak di Malaysia, berkesan.
Pada usia 85 tahun, selepas beberapa kali menjalani hukuman penjara atas kesalahan mencetuskan ancaman militan dan pengeboman maut di Bali, Indonesia, Abu Bakar sendiri memberi peringatan supaya belia Islam tidak melakukan pengganasan dan pembunuhan atas nama Islam.
Bagaimanapun, insiden serangan 17 Mei itu pastinya sedikit sebanyak memberi kesan kepada keyakinan pelabur, ketika Malaysia menuju kepada pemulihan ekonomi.
Namun, jaminan diberikan kerajaan bahawa tahap keselamatan negara berada pada tahap terbaik di sebalik beberapa kes yang dibayangi elemen pengganasan, selain kenyataan tegas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa tindakan keras akan diambil terhadap puak pelampau sekiranya wujud, meyakinkan bahawa negara ini jauh daripada anasir kejam dan ganas.
Kecekapan pasukan keselamatan Malaysia juga sudah terbukti dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, sehingga Malaysia mendapat pengiktirafan dunia apabila menduduki tangga ke-19 Indeks Keamanan Dunia dengan 1.513 mata daripada 163 negara di dunia.
Ini sekali gus meletakkan negara itu di tempat kedua dalam kalangan negara Asia Tenggara di belakang Singapura yang berada di tempat pertama dan keenam di dunia, sebagaimana dilaporkan portal Malaysiakini.
Tidak dapat dinafikan Singapura sebagai negara jiran terdekat dengan tempat kejadian, tidak terkecuali dirundung kebimbangan ancaman pengganasan kerana fahaman JI pernah ‘menguasai’ kelompok tertentu di rantau ini.
Justeru, peringatan Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, supaya rakyat sentiasa berhati-hati dan tidak memandang enteng ancaman ideologi pelampau sedemikian, perlu diambil perhatian.
Apa yang paling dibimbangi ialah tindakan sesetengah pihak yang terlalu cepat membuat kesimpulan dan mengaitkan kejadian serangan dan pengganasan seperti yang berlaku di Ulu Tiram dengan pemikiran agama, yang jika tidak dibendung akan mewujudkan konflik berterusan terutama Islamofobia.
Ketakutan itu disuarakan ahli akademik yang juga Mufti Perlis, Profesor Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, melihatkan wujudnya kempen di Barat yang sering memburukkan Islam dan menggambarkan umatnya sebagai pengganas.
“Setiap kali berlaku serangan pengganasan atau pengeboman, pasti ia ditujukan kepada masyarakat Islam dan mengaitkannya dengan pemikiran Islam, sedangkan manusia ini ada pelbagai latar.
“Kes serangan Ulu Tiram juga sudah disahkan tidak terkait dengan kumpulan tertentu, justeru kadangkala mungkin ada pengaruh tertentu yang bertitik tolak dari itu mendorong pelaku jenayah melakukannya.
“Kita tidak mahu disebabkan perlakuan seorang penjenayah ini, kita dimomok secara berlebihan dengan isu (serangan dan pengganasan) dan timbul pula kegusaran baru terhadap Islam, sedangkan rakyat kita tenang-tenang saja,” katanya dalam satu temubual dengan Astro Awani mengenai kejadian serangan di Ulu Tiram itu.
Jelasnya, Islam sebagai agama yang sejahtera dan mementingkan keamanan dan kedamaian tidak mungkin mendorong seorang Muslim yang benar agamanya untuk melakukan perkara seperti itu.
Sama ada penjenayah yang merancang serangan Balai Polis Ulu Tiram anggota JI atau tidak, apa yang penting ialah memastikan fahaman dan ideologi kumpulan ini sudah benar-benar mati.
Sebetulnya, selain kawalan, pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa dalam membanteras tumbuhnya ideologi songsang yang boleh menggugat keselamatan Malaysia, masyarakat sendiri perlu ada kesedaran dan kepedulian untuk menapis segala fahaman yang datang dan masuk ke minda mereka.
Apa yang pasti, serangan Ulu Tiram adalah ‘loceng amaran’ bagi Malaysia dan negara serantau meningkatkan kawalan dan pemantauan dalam membanteras sebarang unsur pengganasan dan pelampau sekiranya ada.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg