Kerajaan Johor melalui Invest Johor dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) telah mengadakan perbincangan strategik bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi memperkukuh agenda ekonomi digital negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Encik Lee Ting Han, berkata MDEC sebagai agensi utama negara dalam memacu ekonomi digital memainkan peranan penting dalam aspek pelaburan digital, pembangunan bakat serta penerimagunaan teknologi merentasi semua sektor.
“Kita telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC dan fokus utama perbincangan adalah pembangunan pesat sektor pusat data di Johor dan usaha terancang untuk memacu sektor kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi masa depan negeri,” katanya pada satu kenyataan pada 7 Ogos.
Turut dibincangkan ialah kerjasama dalam bidang latihan kemahiran, peningkatan kapasiti dan pembangunan kekuatan digital tersendiri di Johor, sejajar dengan hasrat menjadikan negeri itu sebagai kuasa ekonomi digital serantau.
Menurut Encik Lee, MDEC juga memainkan peranan penting dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City (FC SFZ), khususnya bagi menggalakkan sektor perkhidmatan digital, perkhidmatan sokongan perniagaan global dan pelaburan teknologi bernilai tinggi.
“Paling menggembirakan, MDEC telah mengambil langkah proaktif menubuhkan pejabat satelit di Johor; satu langkah penting untuk kerjasama lebih erat dan penyampaian perkhidmatan yang lebih dekat kepada masyarakat digital di sini.
“Kita berharap lebih banyak yang dapat kita usahakan bersama demi menjadikan Johor sebagai nadi ekonomi digital Malaysia dan hab AI masa depan rantau ini,” katanya.
Dalam pada itu, Encik Lee berkata kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama sektor swasta dalam membangunkan ekosistem pusat data yang bukan sahaja canggih tetapi juga lestari.
“Johor kini membentuk asas ekonomi digital yang kukuh, namun kejayaan sebenar bukan diukur pada kapasiti megawatt semata-mata, tetapi pada bagaimana sumber diurus secara bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata pengalaman negara seperti Singapura dan Sweden yang memanfaatkan tenaga boleh diperbaharui atau penggunaan haba daripada pusat data untuk tujuan lain menjadi rujukan penting.
“Johor sedang mempelajari dan menyesuaikan amalan terbaik ini dengan konteks tempatan. Malah, beberapa permohonan pembangunan pusat data telah ditolak kerana gagal memenuhi piawaian kelestarian.
“Ini bukti bahawa kami lebih mementingkan mutu dan tanggungjawab jangka panjang berbanding pertumbuhan angka semata-mata,” katanya.
Tambah beliau, pembangunan pusat data di Johor bukan penamat, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada rantaian nilai ekonomi digital yang lebih luas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg