Kerajaan Johor rancak memperhebat pemantauan dan pelaksanaan projek kemudahan awam serta pembangunan ekopelancongan bagi memastikan setiap inisiatif memberi manfaat sebenar kepada rakyat dan menyokong pembangunan bandar yang mampan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, turun padang menilai sendiri kemajuan Projek Menaik Taraf Kemudahan Awam dan Rekreasi di Hutan Bandar Johor Bahru.
“Lawatan tapak ini penting bagi memastikan setiap perancangan tidak sekadar dibincangkan di atas kertas, sebaliknya diterjemahkan secara berkesan di tapak sebenar. Ini selaras dengan agenda pembangunan berteraskan kesejahteraan rakyat bandar,” katanya dalam satu kenyataan pada 8 Januari.
Bagi Zon 1, tumpuan diberi kepada pengindahan dan prasarana utama, kerja-kerja penambahbaikan merangkumi laluan pejalan kaki, plaza masuk serta elemen tarikan rekreasi seperti zipline sedang dilaksanakan dengan rapi.
Fokus utamanya adalah mewujudkan akses masuk yang lebih teratur, selamat, dan selesa demi meningkatkan pengalaman awal pengunjung.
Zon 2 pula menekankan kemudahan rekreasi berasaskan alam semula jadi, termasuk pembangunan kawasan perkhemahan dan laluan denai semula jadi.
Pendekatan ini dirangka sebagai ruang rekreasi santai serta pendidikan alam sekitar yang sesuai untuk aktiviti keluarga, komuniti dan program kesedaran alam, sekali gus mengukuhkan peranan Hutan Bandar Johor Bahru sebagai destinasi ekopelancongan bandar.
Sementara itu, bagi Zon 3 yang menumpukan kepada kawasan permainan keluarga dan kanak-kanak, kerja-kerja menaiktaraf taman permainan bersepadu, kolam mandi kanak-kanak serta laman permainan dilaksanakan secara berperingkat dengan penekanan terhadap aspek keselamatan, keselesaan dan mutu pengalaman bermain.
Dalam perkembangan lain, Datuk Jafni turut mempengerusikan mesyuarat khusus berkaitan hala tuju pembangunan Sungai Melayu sebagai destinasi ekopelancongan strategik negeri Johor.
“Perbincangan memfokuskan usaha memposisikan kawasan itu sebagai tarikan pelancongan utama yang mampu menarik kunjungan berulang, melalui pengalaman pelawat yang bermutu, pengurusan profesional serta imej kawasan yang tersusun.
“Antara tumpuan utama ialah penambahbaikan akses dan prasarana termasuk laluan masuk, turapan dan pelebaran jalan, naik taraf fasad bangunan, penjenamaan kawasan serta pengurusan premis jualan agar lebih kemas, selamat dan berimej pelancongan.
“Aspek pengurusan operasi seperti sistem tiket bersepadu, kawalan kapasiti bot, penjadualan boatman, keselamatan serta kemudahan sokongan turut diberi perhatian bagi memastikan pengalaman pelawat lebih teratur dan selesa,” ujarnya.
Selain itu, Mesyuarat Pembangunan Sungai Lebam turut dipengerusikan oleh Datuk Jafni, bagi meneliti secara menyeluruh hala tuju pembangunan pusat rekreasi dan eko-pelancongan di kawasan berkenaan.
Pembangunan Sungai Lebam dirangka sebagai destinasi rekreasi air tawar dan ekopelancongan yang seimbang antara pemuliharaan alam sekitar, keselesaan pengunjung dan potensi ekonomi setempat.
“Tumpuan diberikan kepada penyelarasan prasarana asas, akses masuk, susun atur kemudahan sokongan seperti plaza awam, jeti, kawasan rekreasi air, ruang komuniti serta pengurusan landskap agar kekal selari dengan identiti semula jadi kawasan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg