Sebuah taman awam moden yang menggabungkan elemen rekreasi dan teknologi pintar sedang dibangunkan di Taman Teluk Danga, dan dijangka menjadi antara tarikan baru utama di bandar raya Johor Bahru apabila siap sepenuhnya pada Februari 2026.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata projek di bawah pelaksanaan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu bakal berfungsi sebagai ruang rekreasi terbuka untuk rakyat dan pelancong, sekali gus memperkukuh persiapan negeri menghadapi Tahun Melawat Johor 2026.
Menurutnya, pembangunan taman awam seluas 5.7 ekar itu kini berada pada tahap akhir dengan beberapa komponen utama sedang disiapkan, termasuk laluan pejalan kaki yang lebih selesa, Sky Bridge, kawasan permainan kanak-kanak, kemudahan riadah dan penataan landskap yang memperindahkan keseluruhan kawasan.
“Projek ini turut menampilkan ciri taman pintar secara menyeluruh dengan tujuan meningkatkan keselamatan, keselesaan dan pengalaman pengunjung.
“Antara teknologi yang diperkenalkan ialah sistem pencahayaan adaptif, kawalan pintu masuk menggunakan kod QR dan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID), sistem pengairan automatik, serta pemantauan keselamatan menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
“Dengan gabungan teknologi ini, Taman Awam Teluk Danga berpotensi menjadi ruang awam paling moden dan interaktif di Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan pada 16 November.
Beliau menambah bahawa pembangunan taman itu akan memberi nilai tambah besar kepada bandar raya Johor Bahru bukan sahaja daripada sudut pelancongan, tetapi juga sebagai ruang kehidupan lebih moden, selamat dan menyeluruh untuk dinikmati semua lapisan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, mengumumkan kemajuan dua projek impak tinggi MBJB yang sedang dilaksanakan iaitu menaik taraf Hutan Bandar Johor Bahru dan pembangunan Taman Awam Teluk Danga.
Beliau berkata projek menaik taraf Hutan Bandar bernilai RM10.3 juta ($3.2 juta) kini mencapai 69 peratus kemajuan fizikal, dan akan diberikan wajah baru sebagai nadi rekreasi utama rakyat.
“Antara elemen yang sedang dibangunkan termasuk pemuliharaan flora dan fauna, laluan khas pejalan kaki tropika, kolam mandi kanak-kanak, lokasi fotografi serta ruang pendidikan alam sekitar,” katanya.
Datuk Mohd Jafni turut memaklumkan bahawa projek Taman Awam Teluk Danga dengan kos RM23.5 juta kini berada pada tahap 31 peratus kemajuan fizikal.
“Taman ini bakal menjadi taman bijak pertama di Johor dengan elemen pintar seperti pencahayaan bijak, CCTV pintar dan WiFi awam, selaras dengan agenda bandar pintar negeri Johor,” ujarnya.
Menurut beliau, kewujudan taman awam itu kelak akan menghidupkan semula kawasan Teluk Danga dengan kemudahan mesra keluarga, ruang hijau moden dan potensi pelancongan bandar yang mampu meningkatkan aktiviti ekonomi setempat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg