SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Johor perkasa khidmat pihak berkuasa tempatan, fokus kesejahteraan rakyat

Johor perkasa khidmat pihak berkuasa tempatan, fokus kesejahteraan rakyat

Labur RM180j dalam empat tahun bagi tangani isu banjir; Zoo Johor jadi ikon pelancongan
Apr 10, 2026 | 2:44 PM

Johor perkasa khidmat pihak berkuasa tempatan, fokus kesejahteraan rakyat

Johor, Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempahan Johor
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor. - Foto fail

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor terus memperkukuh peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai barisan hadapan dalam menyelesaikan isu rakyat, dengan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran dan kesejahteraan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata sejak beliau diberi amanah pada Mac 2022, tumpuan utama adalah menjadikan pentadbiran kerajaan tempatan lebih cekap, pantas dan dekat dengan rakyat.

“Kita mahu pihak berkuasa tempatan benar-benar berfungsi memudahkan urusan rakyat serta berani menyelesaikan isu yang dihadapi masyarakat setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan pada 9 April.

Menurut beliau, pelbagai usaha dilaksanakan termasuk memperkasa Zoo Johor sebagai ikon pelancongan bandar yang kini muncul sebagai antara tarikan utama negeri.

“Sehingga kini, Zoo Johor telah menerima lebih 1.3 juta pengunjung, malah pernah mencatat rekod 26,000 pengunjung dalam satu hari,” katanya lagi.

Beliau berkata pengenalan konsep Zoo Malam dengan tambahan 35 spesies baru dan 100 haiwan turut membantu merancakkan ekonomi bandar Johor Bahru.

Selain itu, menurutnya, kerajaan negeri bersama PBT turut membangun pelbagai kawasan riadah bagi kegunaan rakyat di seluruh negeri.

“Antara lokasi termasuk Hutan Bandar Johor Bahru, Tasik Medeka, Dataran Bandar Raya, Sungai Melayu Ekopelancongan di Iskandar Puteri, Dataran Mahkota dan Taman Bandar Bukit Layang-layang di Pasir Gudang serta Kulai Cycling Park,” katanya lagi.

Dalam aspek pentadbiran pula, Datuk Mohd Jafni berkata inisiatif Johor Fastlane yang kini dikenali sebagai Johor Superlane berjaya mempercepat tempoh pembangunan projek daripada 24 bulan kepada hanya 14 bulan.

“Ini bermakna pembangunan dapat disiapkan 10 bulan lebih awal, sekali gus mengurangkan birokrasi yang melambatkan rakyat dan pelaburan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri turut menyeragamkan sistem permohonan lesen perniagaan, melibatkan 16 PBT, termasuk memendekkan tempoh kelulusan lesen tidak berisiko kepada hanya satu hari berbanding 30 hari sebelum ini.

Menurut beliau, Johor juga menjadi negeri pertama mencapai status negeri pintar apabila kesemua 16 PBT mula melaksanakan inisiatif bandar pintar sekurang-kurangnya pada peringkat awal.

“Lebih 1,500 kamera litar tertutup pintar telah dipasang di lokasi strategik bagi meningkatkan keselamatan, selain penggunaan penderia paras air dan pengesan mutu udara,” katanya.

Dalam usaha menangani banjir bandar, Datuk Mohd Jafni, berkata kerajaan negeri membelanjakan RM180 juta ($57 juta) dalam tempoh empat tahun.

“Sebanyak 250 kawasan ‘hotspot’ atau titik tumpuan banjir telah berjaya diselesaikan atau dalam proses penyelesaian termasuk di Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Kulai,” katanya lagi.

Beliau berkata PBT turut melaksanakan pembinaan kolam takungan sementara yang berfungsi menampung air ketika hujan lebat sebelum dijadikan kawasan riadah apabila cuaca kembali baik.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg