Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan tahap waspada yang dijangka berlaku selama empat hari bermula 26 hingga 29 Disember 2025, melibatkan daerah Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata orang ramai khususnya penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap perkembangan cuaca semasa sepanjang tempoh berkenaan.
“Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, peka terhadap perkembangan cuaca semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
“Kerajaan Johor melalui agensi berkaitan juga akan terus memantau situasi ini secara rapi dan berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan keselamatan serta kebajikan warga Johor sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan pada 23 Disember.
Beliau turut mengajak seluruh Bangsa Johor agar bersama-sama berdoa supaya negeri itu terus dilindungi dan dijauhkan daripada sebarang musibah, selain dipermudahkan segala urusan sepanjang tempoh cuaca yang tidak menentu ini.
Amaran hujan berterusan yang dikeluarkan MetMalaysia lazimnya berpotensi membawa kepada risiko banjir, tanah runtuh dan gangguan pergerakan, justeru orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga serta mengelakkan aktiviti berisiko tinggi terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Sementara itu, Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan taburan hujan berterusan di kawasan timur Semenanjung sepanjang fenomena monsun antara 25 hingga 29 Disember ini dijangka berada dalam julat normal dan tidak ekstrem.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata jumlah hujan harian diramal sekitar 100 hingga 250 milimeter, selaras dengan ciri hujan monsun biasa.
“Setakat maklumat terkini yang kami ada, Terengganu, timur Pahang dan timur Johor dijangka terkesan dengan monsun kali ini.
“Bagi kesan daripada kejadian ini pula bergantung kawasan tertentu kerana terdapat tempat yang banjirnya belum surut sepenuhnya,” katanya.
MetMalaysia sebelum ini melaporkan monsun dijangka berlaku antara 25 hingga 29 Disember dan berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan timur Semenanjung.
Analisis model cuaca terkini turut menunjukkan angin kencang dan laut bergelora dijangka berlaku di Laut China Selatan sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, keadaan cuaca signifikan itu berisiko menjejaskan aktiviti harian orang awam, khususnya di kawasan terdedah kepada hujan lebat berpanjangan dan perairan yang bergelora.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg