Johor perkenal latihan, penarafan pusat jagaan hasil lawatan ke S’pura
Johor perkenal latihan, penarafan pusat jagaan hasil lawatan ke S’pura
Johor perkenal latihan, penarafan pusat jagaan hasil lawatan ke S’pura
Kerajaan Johor memperkenalkan beberapa daya usaha bagi meningkatkan mutu pusat jagaan wanita, kanak-kanak, individu berkeperluan khas, serta warga emas di negeri ini selepas mempelajari pendekatan pengurusan kebajikan di Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Khairin-Nisa Ismail, berkata antara inisiatif yang diperkenalkan ialah Program Latihan Child Support Team Negeri Johor serta sistem penganugerahan penarafan lima bintang bagi pusat jagaan di negeri itu.
Langkah tersebut menyusul lawatan kerja beliau ke republik itu pada 2022 dan 2023, termasuk ke Pusat Pakar Perlindungan Kanak-kanak dan Enabling Village – pusat khidmat bersepadu bagi golongan berkeperluan khas – di Lengkok Bahru.
“Lawatan berkenaan memberi peluang kepada kerajaan negeri melihat secara langsung dan mempelajari bagaimana Singapura mengurus pusat perlindungan wanita, kanak-kanak, warga emas dan individu berkeperluan khas secara tersusun serta profesional.
“Sistem penarafan yang kita perkenalkan ini merangkumi pusat jagaan kanak-kanak, warga emas, golongan berkeperluan khas, serta pusat perlindungan wanita dan kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Menurutnya, penarafan satu hingga lima bintang diperkenal bagi memantau tahap perkhidmatan dan keselamatan di pusat jagaan secara berterusan.
“Kita mahu memastikan pusat jagaan mematuhi piawaian ditetapkan. Jika terdapat kes pengabaian atau penderaan, tindakan termasuk penutupan boleh diambil,” katanya.
Kerajaan negeri turut memperuntuk kira-kira RM300,000 ($96,878) pada tahun 2026 bagi melaksanakan latihan serta program pemantapan kepada pengendali pusat jagaan dan pasukan sokongan kanak-kanak.
Program berkenaan termasuk latihan terapi seperti terapi pertuturan dan beberapa kaedah pemulihan lain yang dijalankan melalui kerjasama masyarakat serta pusat pemulihan dalam komuniti (PDK).
Selain itu, inisiatif kebajikan melalui Bantuan Kasih Johor (BKJ) diteruskan, memberi tumpuan kepada ibu tunggal, individu kurang upaya, anak yatim serta keluarga memerlukan.
Dalam perkembangan lain, Cik Khairin-Nisa, berkata mangsa kebakaran di kawasan Orang Asli Teluk Jawa, Masai telah dipindahkan ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Cendana.
Kira-kira 39 keluarga melibatkan sekitar 130 mangsa sebelum ini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Muafakat Taman Megah Ria sebelum dipindahkan ke kediaman tetap.
Katanya, mangsa turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta beberapa agensi berkaitan bagi membantu mereka meneruskan kehidupan selepas kejadian itu.
Terdahulu, pada 12 Februari, sebanyak 30 unit rumah atas air musnah dalam kebakaran yang berlaku di penempatan Orang Asli dekat Jalan Dedaru 11, Kampung Teluk Jawa, Pasir Gudang.

