Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Robot beraksi seiring doktor di bilik bedah di Johor dan Melaka

HMI Medical tawar prosedur libat sistem hinotori dari Jepun di dua hospital utama tingkat ketelitian pembedahan, percepat pemulihan
Sep 29, 2025 | 5:30 AM
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HMI Medical, Cik Chin Wei Jia (empat dari kanan), semasa Majlis Pelancaran Pembedahan yang Dibantu Robot, Hinotori, di Regency Specialist Hospital, Bandar Seri Alam, Johor Bahru.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HMI Medical, Cik Chin Wei Jia (empat dari kanan), semasa Majlis Pelancaran Pembedahan yang Dibantu Robot, Hinotori, di Regency Specialist Hospital, Bandar Seri Alam, Johor Bahru. - Foto HMI MEDICAL

Firma perubatan HMI Medical muncul sebagai kumpulan penjagaan kesihatan swasta pertama di Asia Tenggara yang menawarkan prosedur pembedahan dibantu robot menggunakan sistem hinotori di dua hospital utamanya – Mahkota Medical Centre (MMC) di Melaka dan Regency Specialist Hospital (RSH) di Johor.

Langkah itu menandakan lonjakan besar dalam keupayaan rawatan pembedahan di rantau ini, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pesakit untuk mendapatkan pilihan rawatan lebih tepat, kurang invasif dan berupaya mempercepat pemulihan.

Sistem hinotori dibangunkan melalui gabungan kepakaran teknologi robotik Kawasaki Heavy Industries selama lebih 50 tahun dan jaringan serta pengetahuan bidang kesihatan oleh Sysmex Corporation.

Ia direka sebagai sistem pembedahan dibantu robot (RAS) yang mampu meniru dan memperincikan gerak-geri halus pakar bedah, suatu keperluan penting ketika melaksanakan pembedahan rumit yang menuntut ketelitian tinggi.

Dengan penggunaan lengan robot dan kamera tiga dimensi berdefinisi tinggi yang dikawal daripada konsol, kaedah pembedahan lubang kunci itu memberi kelebihan ketangkasan kepada pakar bedah di samping mengurangkan kesan invasif kepada pesakit.

Pakar bedah menjalankan pembedahan melalui kaedah lubang kunci yang dibantu dengan lengan robot dan kamera tiga dimensi berdefinisi tinggi yang dikawal dari konsol.
Pakar bedah menjalankan pembedahan melalui kaedah lubang kunci yang dibantu dengan lengan robot dan kamera tiga dimensi berdefinisi tinggi yang dikawal dari konsol. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Menurut HMI Medical, penggunaan RAS memberikan beberapa faedah nyata kepada pesakit yang layak, khususnya bagi penyakit berkaitan urologi, sakit puan, kolorektum dan pembedahan am.

Manfaat Bedah Bantuan Robot

Antara manfaat yang kerap direkod termasuk kurang rasa sakit selepas pembedahan; asas mula pergerakan lebih cepat; tempoh rawatan di wad lebih singkat; serta penjimatan kos rawatan dalam jangka panjang.

Dari sudut keselamatan dan pematuhan, sistem itu telah diluluskan oleh Pharmaceuticals and Medical Devices Agency (PMDA) di Jepun, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) di Singapura, dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di Malaysia.

Di Jepun sahaja, hinotori telah digunakan di puluhan hospital, manakala di Singapura ia beroperasi di Hospital Besar Singapura sejak 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, HMI Medical, Cik Chin Wei Jia, menegaskan bahawa pelaburan terhadap pembedahan dibantu robot sebahagian daripada komitmen jangka panjang kumpulan itu untuk memperluas akses kepada rawatan bermutu kepada lebih ramai pesakit di Malaysia dan serantau.

“Pembedahan dibantu robot berada pada landasan tepat untuk terus membentuk masa depan penjagaan kesihatan.

“Dengan memperkenalkan hinotori di dua hospital kami, kami dapat meningkatkan ketersediaan teknik pembedahan terkini yang menawarkan pemulihan lebih cepat serta hasil rawatan lebih baik,” jelasnya kepada Berita Harian (BH).

Beliau menambah, pemilihan sistem dari Jepun itu dibuat setelah kumpulannya menilai pelbagai pilihan bersama pakar bedah, termasuk pertimbangan kos penggunaan dan bahan guna habis supaya lebih ramai pesakit mampu menikmati faedahnya.

Seiring pelancaran itu, HMI Medical menganjurkan majlis selama dua hari pada 22 dan 23 September merentasi kedua-dua hospital bagi menghimpunkan pemimpin kerajaan Malaysia, pengamal perubatan, pakar industri dan penggerak inovasi sejagat.

Himpunan itu bertujuan membincangkan hala tuju pembedahan dibantu robot dalam landskap kesihatan negara serta mengetengahkan kajian kes sebenar merentasi disiplin seperti kesihatan wanita, pembedahan am dan rawatan kolorektum.

HMI menekankan pendekatan menyeluruh yang tidak hanya bertumpu pada perkakasan, sebaliknya membina kekuatan pasukan klinikal melalui latihan intensif dan pensijilan rapi.

Di peringkat serantau, minat terhadap pembedahan dibantu robot meningkat seiring pertambahan penyakit kronik, penuaan penduduk dan tuntutan terhadap kaedah rawatan kurang invasif.

Pasaran robotik pembedahan di Asia Pasifik diramal berkembang pesat, dan HMI Medical menempatkan dirinya sebagai peneraju yang menawarkan pilihan rawatan berkesan dari segi kos berbanding kaedah terbuka atau laparoskopi konvensional.

Minat terhadap pembedahan dibantu robot meningkat seiring pertambahan penyakit kronik, penuaan penduduk dan tuntutan terhadap kaedah rawatan yang kurang invasif.
Minat terhadap pembedahan dibantu robot meningkat seiring pertambahan penyakit kronik, penuaan penduduk dan tuntutan terhadap kaedah rawatan yang kurang invasif. - Foto HMI MEDICAL

Di MMC dan RSH, sejumlah prosedur berpermintaan tinggi telah dilaksanakan dalam bidang urologi, sakit puan dan pembedahan am, dengan dapatan awal menunjukkan peningkatan ketepatan pembedahan, tempoh kemasukan ke hospital lebih singkat, serta tahap kepuasan pesakit lebih tinggi.

Seramai 15 Pakar Bedah Jalani Latihan

Mengulas mengenai keutamaan membina keupayaan, Cik Chin memaklumkan bahawa 15 pakar bedah dari kedua-dua hospital sudah menjalani latihan, merangkumi disiplin urologi, sakit puan dan pembedahan am, sementara puluhan jururawat turut diberi pendedahan khusus.

Latihan intensif itu dilaksanakan dengan kerjasama rapat Medicaroid, syarikat yang membangunkan sistem hinotori, termasuk penempatan dan pensijilan di Pusat Latihan Robotik hinotori di Akademia Hospital Besar Singapura.

“Kekuatan sesebuah program pembedahan robotik terletak pada pasukan.

“Peralatan yang canggih hanyalah asas; yang menentukan kejayaan ialah jumlah pakar bedah dan jururawat yang terlatih serta pengalaman kes yang mencukupi,” tegasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa HMI mengadakan perbincangan dengan syarikat insurans bagi memperluas perlindungan terhadap prosedur RAS, selaras keyakinan bahawa hasil klinikal yang baik dan pemulihan lebih cepat akan menyokong usaha itu.

Di samping menaik taraf kemahiran klinikal, HMI turut menitikberatkan pengalaman pesakit.

Cik Chin menjelaskan, sejak sekian lama kumpulan itu memajukan penyepaduan rekod perubatan elektronik dan papan pintar generasi seterusnya di wad untuk memperkemas aliran kerja, mengurangkan masa dokumentasi dan membolehkan jururawat menumpukan lebih banyak masa kepada penjagaan pesakit.

“Bagi pesakit antarabangsa, kami mengendalikan pusat sokongan khusus, termasuk pengaturan pertemuan, kelulusan, pengangkutan, serta bantuan bahasa.

“Tujuan kami ialah memudahkan perjalanan rawatan keseluruhannya, bukan sekadar tatacara pembedahan,” ujarnya.

Tingkat Hasil Rawatan

Dari sudut klinikal, pakar bedah dan pakar masing-masing menyifatkan pembedahan dibantu robot sebagai pemangkin peningkatan hasil rawatan.

Perunding Pembedahan Am RSH, Dr Lim Huay Cheen, yang berpengalaman dalam pembedahan saluran penghadaman atas dan rawatan obesiti, menjelaskan bahawa sistem robotik membantu beliau memperoleh medan pandangan amat jelas dan kawalan tangan yang halus, terutama bagi pembedahan barah perut serta esofagus yang lazimnya panjang dan rumit.

Perunding Pembedahan Am Regency Specialist Hospital (RSH), Dr Lim Huay Cheen.
Perunding Pembedahan Am Regency Specialist Hospital (RSH), Dr Lim Huay Cheen. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Bagi pesakit obes yang sangat tinggi Indeks Jisim Tubuh (BMI), pembedahan terbuka membawa risiko berat.

“Dengan bantuan robot, ketepatan meningkat dan beban fizikal ketika pembedahan berkurangan.

“Ini diterjemah kepada pemulihan lebih baik,” katanya sambil menambah bahawa kerja berpasukan di dewan bedah menjadi lebih lancar kerana setiap anggota memahami peranan ketika mengendalikan sistem robotik.

Sementara itu, Perunding Obstetrik dan Sakit Puan di MMC, Dr Sevellaraja Supermaniam, berkata pembedahan dibantu robot mempunyai peranan besar dalam mengurus kes endometriosis tahap sukar, termasuk kes yang melibatkan saraf atau usus.

Perunding Obstetrik dan Sakit Puan Mahkota Medical Centre (MMC), Dr Sevellaraja Supermaniam.
Perunding Obstetrik dan Sakit Puan Mahkota Medical Centre (MMC), Dr Sevellaraja Supermaniam. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Beliau yang puluhan tahun mempelopori pembedahan lubang kunci berkata ramai doktor muda akan lebih cepat menguasai teknik pembedahan melalui sistem robotik berbanding laparoskopi semata-mata, sekali gus memperluas ketersediaan pembedahan lubang kunci kepada lebih ramai pesakit.

“Akhirnya yang menerima manfaat ialah pesakit, kesakitan berkurang, parut lebih kecil, lebih cepat pulih, dan kesuburan juga boleh dipelihara lebih baik dalam banyak keadaan,” ujarnya.

Peranan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura

Dari sudut pembuat dasar negeri, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, menyatakan keyakinan bahawa inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan mengukuhkan kedudukan Johor sebagai tumpuan rawatan serantau.

Kedudukan geografi Johor yang bersebelahan Singapura serta dekat dengan Batam dan laluan antarabangsa lain dilihat memberi kelebihan untuk menarik pelaburan, termasuk dalam bidang teknologi perubatan.

“Dengan kesiapsiagaan agensi negeri, pihak berkuasa tempatan dan rakan pelaburan, kami mengalu-alukan kerjasama untuk memacu industri penjagaan kesihatan maju di Johor,” katanya.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, pula menyifatkan pengenalan sistem hinotori di MMC sebagai detik penting yang mengangkat Melaka ke arah destinasi pelancongan perubatan dan pusat rujukan inovasi kesihatan.

Beliau menekankan bahawa kejayaan pelaksanaan itu bertunjangkan dedikasi pasukan kesihatan di bawah HMI Medical serta kerjasama rakan kongsi seperti Sysmex.

“Ia menandakan era baru ketelitian pembedahan dan kecekapan rawatan, memberi limpahan manfaat kepada pesakit tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg