Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 1,000 katil baru bagi naik taraf wad Hospital Sultanah Aminah JB

Sep 26, 2025 | 4:07 PM
Malaysia, Johor Bahru, Hospital Sultanah Aminah, katil, naik taraf, Ling Tian Soon
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon (tengah, berbaju putih), ketika mengadakan lawatan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru. - Foto FACEBOOK AH SOON

JOHOR BAHRU: Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru kini melangkah ke tahap baru dengan peningkatan ketara dari segi keselesaan pesakit dan kelancaran operasi selepas berjaya menerima lebih 1,000 buah katil baru hasil sumbangan pelbagai pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata jumlah itu melepasi sasaran asal 969 buah katil, dengan 830 daripadanya telah dihantar dan dipasang setakat ini.

“Ini bermakna lebih 80 peratus katil di HSA kini sudah diganti dengan yang baru.

“Ia satu pencapaian besar, hasil sokongan syarikat sosial, pertubuhan kebajikan dan orang ramai yang prihatin terhadap mutu perkhidmatan kesihatan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada 26 September.

Beliau yang turut meninjau keadaan semasa hospital berkenaan berkata petugas kesihatan menyifatkan penggantian katil itu sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah hospital.

“Mereka beritahu operasi kini lebih mudah dan pesakit juga menyedari persekitaran lebih selesa serta bersih.

“Di wad kanak-kanak, semua katil telah diganti baru, dan ibu bapa amat menghargai usaha ini,” ujarnya.

Selain itu, kerja naik taraf wad di Tingkat 5 bangunan induk HSA juga telah siap sepenuhnya.

Wad tersebut kini lebih terang, luas dan selesa, dengan sistem pendawaian elektrik serta bekalan oksigen yang baru.

“Kontraktor dijadualkan menyerahkan projek ini pada 28 September, dan selepas itu pesakit dari wad lain akan dipindahkan ke sini bagi memberi laluan kepada kerja naik taraf seterusnya,” jelasnya.

Secara keseluruhan, HSA mempunyai 1,206 buah katil.

Namun, 117 katil melibatkan empat wad terpaksa dihentikan operasi buat sementara bagi tujuan kerja naik taraf.

Keadaan itu menimbulkan kekangan, tetapi pihak hospital telah mengambil langkah segera termasuk menambah katil di wad sedia ada serta menggunakan ruang alternatif.

Encik Ling menegaskan kerja penambahbaikan itu memerlukan kesabaran semua pihak.

“Kami faham terdapat kesulitan jangka pendek, tetapi setelah siap kelak, HSA akan tampil dengan wajah baru dan mampu menawarkan perkhidmatan kesihatan yang lebih bermutu kepada seluruh rakyat Johor,” katanya.

Encik Ling turut memaklumkan ruang menunggu di Unit Kecemasan HSA juga sedang menjalani kerja naik taraf bernilai RM155,000 ($47,283) yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Johor.

Setakat ini, projek itu telah mencapai 50 peratus kemajuan dan dijangka siap awal November.

“Apabila siap nanti, orang ramai yang hadir untuk mendapatkan rawatan akan dapat menunggu dalam suasana lebih selesa dengan kemudahan penghawa dingin,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg