Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor perkukuh ekosistem halal, hasil pensijilan naik kepada RM2.6j

Dec 8, 2025 | 2:58 PM
Malaysia, Johor, halal, sijil
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid. - Foto FACEBOOK MOHD FARED MOHD KHALID

Usaha Johor memperkukuh ekosistem halal negeri semakin menunjukkan hasil apabila kutipan bagi pensijilan Pengesahan Halal Malaysia meningkat kepada RM2.6 juta ($819,032) sehingga 5 Disember 2025, berbanding RM2.4 juta pada 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata sehingga November 2025, sebanyak 68 Sekolah Agama Kerajaan Johor telah memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada sasaran 153 sekolah, dan baki institusi dijangka menerima sijil menjelang penghujung Disember.

“Jumlah permohonan turut bertambah kepada 2,024 pada 2025 berbanding 1,542 pada 2023, menggambarkan peningkatan keyakinan pengusaha terhadap sistem pensijilan negeri.

“Sebanyak 35 hotel di seluruh negeri kini memiliki sijil halal sebagai persiapan menyambut kehadiran pelancong islam sempena Tahun Melawat Johor 2026,” katanya dalam satu kenyataan pada 7 Disember.

Menurut Encik Mohd Fared, Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) dalam mesyuarat pada 27 November turut memutuskan, mulai 2026, semua agensi di bawah portfolio Hal Ehwal Agama, termasuk badan berkaitan dan anak syarikat, wajib melantik pembekal makanan bersijil halal.

“Langkah ini penting untuk memastikan setiap program, operasi dan agihan yang dilaksanakan agensi kerajaan mematuhi sepenuhnya prinsip halal yang menjadi keutamaan negeri,” ujarnya.

Dalam Mesyuarat Majlis Halal Negeri Johor pada 7 Disember, Encik Mohd Fared, menzahirkan penghargaan kepada semua ahli majlis dan agensi pelaksana yang terus menunjukkan iltizam dalam merealisasikan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 (PKHNJ 2030).

Menurutnya, pelan yang dirangka secara menyeluruh itu mesti memberi kesan langsung kepada usahawan kecil dan sederhana, perusahaan kecil serta para pengguna yang menuntut produk halal yang selamat, bermutu dan diyakini.

Antara agensi yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh sektor halal negeri adalah Bahagian Halal Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj), Majlis Agama Islam Negeri Johor, PIJ Holdings dan Perbadanan Usahawan Johor.

“Antara perkembangan yang diketengahkan termasuk kejayaan mempercepatkan proses pensijilan melalui Halal Greenlane, yang kini membolehkan permohonan diproses seawal 15 hari.

“Sehingga kini, sebanyak 524 sijil halal telah diluluskan di bawah pendekatan baru itu, sekali gus meletakkan Johor dalam kedudukan hadapan dari segi kecekapan dan pemudahcaraan usahawan,” katanya.

Menurutnya, PIJ Holdings turut menyumbang RM2 juta bagi memperkukuh pembangunan kemudahan, kelompok halal dan program keusahawanan, selaras dengan usaha mempersiap industri tempatan dalam menghadapi persaingan sejagat.

“PKHNJ 2030 menyasarkan 5,000 pensijilan halal menjelang 2030, satu sasaran strategik untuk melahirkan lebih ramai pengusaha yang berdaya saing serta membuka ruang pekerjaan baru kepada rakyat,” ujarnya.

Encik Mohd Fared berkata usaha Johor tidak hanya tertumpu kepada pensijilan semata-mata, malah merangkumi pembangunan bakat, digitalisasi, kemudahan pelaburan dan pengukuhan rantaian industri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg