Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia eksport 7.2j kg durian ke S’pura pada 2024

Jenis durian popular termasuk Musang King, D13 (Durian Kunyit), IOI, Tekar, Blackthorn, Kim Hong dan durian kampung
Jul 11, 2025 | 1:31 PM
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri pengeluar utama buah-buahan di Malaysia dengan keluaran melebihi 739,000 tan metrik setahun, dengan durian menjadi antara hasil utama yang menyumbang kepada pasaran domestik dan eksport.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, berkata pada 2024 sahaja, Johor menghasilkan kira-kira 189,787 tan metrik durian, membabitkan kawasan seluas 19,179 hektar dan disumbangkan oleh lebih 34,000 pengusaha kecil dan besar di seluruh negeri.

“Negeri Johor turut menyumbang sebahagian besar kepada jumlah eksport durian negara yang mencecah 13 juta kilogram (kg) bernilai kira-kira RM339 juta ($101 juta).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 7.2 juta kg durian dieksport ke Singapura melalui pintu keluar Johor,” katanya ketika ditemui sempena program Santai Makan Durian bersama media pada 10 Julai.

Datuk Zahari berkata pusat pengumpulan durian kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Tangkak, Johor, kini telah dinaik taraf dan sedang beroperasi secara kecil-kecilan sebelum pelancarannya secara rasmi dijadualkan tidak lama lagi.

“Pusat ini akan mengumpulkan durian dari Segamat, Muar dan Tangkak termasuk semua gred – A, B dan C – untuk disejuk beku dan diproses menjadi produk seperti pes durian dan jem,” kongsinya.

Pusat berkenaan dibangunkan dengan kerjasama sebuah syarikat dari Selangor yang menggunakan teknologi pembekuan nitrogen dari China, bagi membolehkan hasil durian dapat disimpan dan dipasarkan sepanjang tahun.

“Dengan adanya pusat ini, kita harap isu lambakan durian dan kejatuhan harga dapat dikawal kerana semua hasil akan dikumpulkan dan digunakan sepenuhnya, termasuk durian gred rendah yang selama ini tidak dimanfaatkan,” ujarnya.

Selain Singapura, negara lain yang turut mengimport durian dari Malaysia ialah China (4.4 juta kg), Hong Kong (1.4 juta kg), dan beberapa negara lain dengan jumlah eksport keseluruhan meliputi 20 negara.

Jenis durian popular dari Johor termasuk Musang King, D13 (Durian Kunyit), IOI, Tekar, Blackthorn, Kim Hong dan durian kampung.

Menurut Datuk Zahari, dakwaan kononnya hanya durian gred A dihantar ke luar negara tidak berasas kerana pemilihan gred dilakukan secara terbuka di pusat pengumpulan dan pasaran borong.

“Setiap pekebun bebas memilih ke mana mahu menghantar hasil mereka, dan semua gred dijual bergantung kepada permintaan pemborong serta kemampuan logistik masing-masing,” katanya.

Mengulas perkembangan masa depan pengusaha tani di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), Datuk Zahari berkata tiga bengkel telah dijalankan Jabatan Pertanian bersama agensi berkaitan bagi merangka pelan perlindungan kepada pengusaha.

“Cadangan kami termasuk peruntukan khas atau insentif bagi memastikan pengusaha pertanian tidak terpaksa keluar dari kawasan JS-SEZ apabila pembangunan pesat berlaku. Kita mahu ada jaminan undang-undang atau dasar supaya mereka dapat kekal bertani,” katanya.

Menurutnya, bengkel itu turut merumuskan cadangan untuk menarik pelabur dalam bidang teknologi pertanian agar membuka operasi di Johor, dengan insentif seperti pelepasan cukai atau tarif air khas.

“Ini bagi memastikan kelestarian sektor pertanian dan jaminan makanan terus diberi keutamaan seiring pembangunan ekonomi digital dan pelaburan berskala besar di kawasan JS-SEZ,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg