Projek ‘Smart Indoor Vertical Farm’ yang dilancarkan di Iskandar Puteri pada 7 Julai menjadi lambang komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memodenkan sektor pertanian negeri melalui penerapan teknologi tinggi dan amalan pertanian pintar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, berkata inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh ekosistem makanan negeri, malah selari dengan aspirasi pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) khususnya dari segi keterjaminan makanan rentas sempadan.
“Projek berimpak tinggi ini adalah antara yang terbesar di negara ini dan dilaksanakan hasil pelaburan serta kerjasama strategik sektor swasta. Ia membuka ruang kepada kerjasama pertanian moden antara Johor dengan Singapura secara lebih meluas,” katanya dalam satu kenyataan pada 8 Julai.
Kemudahan yang dibangunkan FarmByte bersama firma agriteknologi dari Singapura, Archisen, melibatkan kawasan berkeluasan 52,000 kaki persegi dan menggunakan teknologi pertanian persekitaran terkawal atau Controlled-Environment Agriculture (CEA).
Ia mampu menghasilkan sehingga 306,000 kilogram sayur-sayuran premium setahun seperti ice plant, crystal lettuce (salad kristal), japanese mustard green (sawi hijau Jepun), red vein sorrel, dan baby spinach (bayam kecil).
Datuk Zahari berkata kaedah penanaman secara bertingkat itu membolehkan pengeluaran tinggi dalam ruang terhad, menjadikannya ideal bagi kawasan bandar yang berpenduduk padat.
“Projek ini juga telah diiktiraf sebagai salah satu Centre of Excellence (COE) di bawah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Negeri Johor (J-ARDC),” katanya.
Tambahnya, kerajaan Johor akan terus memperkasa penggunaan teknologi moden seperti hidroponik dan fertigasi dalam kalangan petani menerusi mekanisasi, automasi dan penggunaan data bagi meningkatkan hasil dan kecekapan pengeluaran tanpa memberi tekanan kepada alam sekitar.
“Tahniah kepada FarmByte dan Archisen atas pelaksanaan projek ini. Diharapkan kerjasama ini menjadi pencetus kepada pengusaha dan pelabur lain untuk menjadikan Johor sebagai hab pertanian moden di rantau ini,” katanya.
Pada 7 Julai, sebuah ladang pertanian menegak dalam bangunan atau ‘indoor vertical farming’, terbesar di negara Malaysia dilancar di Taman Perindustrian Nusajaya, Johor.
Ladang pertanian menegak tertutup itu dibuka hasil kerjasama syarikat Malaysia-Singapura, iaitu FarmByte, sebuah syarikat agrimakanan digital di bawah Johor Corporation (JCorp) dan Archisen, seterusnya dinamakan FarmByte Archisen Sdn Bhd.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ladang berkenaan menggunakan pendekatan CEA untuk menanam hasil segar tanpa racun perosak sepanjang tahun, selain tanpa bergantung kepada faktor keadaan cuaca.
Menurutnya, dengan penggunaan teknologi CEA, ladang berkenaan membolehkan pemantauan masa nyata terhadap pengeluaran tanaman, penghantaran nutrien serta kawalan mikroiklim menerusi rangkaian sensor.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg