Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) disifatkan sebagai peluang bersejarah untuk menjadikan Johor dan Singapura sebagai enjin pertumbuhan ekonomi bertaraf dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Encik Lee Ting Han, berkata kerjasama strategik antara Johor dengan Singapura mampu melahirkan zon ekonomi paling bernilai dan terdepan di Asia Tenggara.
“JS-SEZ dibentuk dengan mengambil kira trend sejagat semasa termasuk penstrukturan semula rantaian bekalan dunia, ledakan digital dan keutamaan prinsip sosial dan tadbir urus (ESG).
“Johor dan Singapura memiliki kekuatan yang saling melengkapi dalam kesemua aspek ini,” katanya ketika berucap dalam Forum JS-SEZ anjuran Bahagian EMBA Universiti Nasional Singapura (NUS) di Raja Zarith Sofiah Opera House di Johor Bahru pada 13 Julai.
Forum berkenaan yang menarik penyertaan lebih 35,000 peserta dalam talian dan 700 peserta fizikal turut menyaksikan perbincangan mendalam antara pelabur, ahli akademik dengan agensi dari kedua-dua negara.
Menurut Encik Lee, landskap ekonomi dunia kini dipengaruhi beberapa faktor utama termasuk ketidaktentuan geopolitik, cabaran rantaian bekalan dan keperluan untuk lokasi pelaburan yang stabil serta strategik.
“Pasca-Covid-19 dan dalam ketidaktentuan perdagangan sejagat, syarikat-syarikat multinasional kini mencari lokasi selamat, stabil dan dekat dengan pusat pasaran serantau – Johor dan Singapura memenuhi semua ciri ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa ledakan digital telah melonjakkan pelaburan dalam pusat data, kecerdasan buatan (AI), dan teknologi hijau – sektor yang kini giat berkembang di Johor.
“JS-SEZ akan direka bentuk dengan prinsip ESG sejak awal, termasuk infrastruktur rendah karbon, logistik pintar dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Encik Lee berkata Johor memiliki kelebihan dari segi keluasan tanah, bekalan tenaga dan tenaga buruh mahir yang berdaya saing, manakala Singapura pula mempunyai kekuatan dalam bidang kewangan, teknologi dan jaringan sejagat.
“Gabungan ini menjadikan JS-SEZ sebagai wadah paling strategik untuk menghubungkan Asean dengan China, Asia Selatan dan dunia Barat.
“Sekiranya dirancang dengan teliti, ia bakal muncul sebagai model pembangunan rentas sempadan paling berjaya di rantau ini,” jelasnya.
Menurutnya, Johor dan Malaysia tidak bermula daripada kosong, sebaliknya sudah memiliki asas kukuh dalam sektor semikonduktor, kontrak pengilangan, tenaga, peranti perubatan serta logistik dan makanan halal.
“JS-SEZ akan menghubungkan kekuatan sedia ada ini dengan kepakaran dan jaringan Singapura untuk melahirkan ekosistem pelaburan dan inovasi yang menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan, Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J), sebuah pusat sehenti yang menyelaras semua agensi kerajaan bagi mempercepat proses pelaburan serta menyelesaikan isu secara pantas dan mesra pelabur.
Encik Lee menegaskan bahawa JS-SEZ disokong oleh perjanjian rasmi, pelan tindakan terperinci serta matlamat bersama untuk menarik pelaburan, memperkasa mobiliti tenaga kerja, dan mempercepat prosedur kastam dan imigresen.
“Dengan semangat kerjasama dua hala yang kukuh, kami yakin JS-SEZ akan menjadi mercu pembangunan ekonomi serantau yang bukan sahaja moden, bahkan juga mampan dan berdaya tahan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg