Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor perkukuh kedudukan sebagai pengeluar ternakan utama haiwan di M’sia

Nov 17, 2025 | 1:25 PM
ternakan, lembu, Johor
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, ketika melihat ketibaan 1,000 ekor lembu tenusu di Pelabuhan Pasir Gudang, dari Australia. - Foto FACEBOOK ZAHARI SARIP

JOHOR BAHRU: Johor terus memperkukuh kedudukan sebagai antara pengeluar ternakan haiwan (ruminan) utama Malaysia menerusi pelaksanaan pelbagai strategi pembangunan sektor ternakan serta pelaburan berimpak tinggi yang menumpukan kepada peningkatan pengeluaran tempatan dan jaminan bekalan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, berkata berdasarkan data Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Johor, sektor ternakan merupakan komponen kritikal dalam ekosistem keselamatan makanan negara, namun kadar sara diri (SSR) bagi beberapa subsektor masih rendah.

“SSR daging lembu berada pada paras 15.9 peratus, manakala daging kambing hanya 10.6 peratus, menyebabkan kebergantungan import kekal tinggi pada kadar 89.6 peratus untuk daging lembu dan 84.5 peratus untuk daging kambing. Bagi susu segar, SSR dicatatkan pada 66.8 peratus.

“Menyedari keperluan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran domestik, kerajaan negeri melaksanakan pelbagai usaha peningkatan termasuk program pembiakan baka, peluasan permanian beradas, pengukuhan kawalan penyakit, penambahbaikan nutrisi dan prasarana ternakan, serta inisiatif latihan kepada penternak.

“Johor turut menaik taraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) ternakan sebagai sebahagian usaha jangka panjang meningkatkan produktiviti industri,” katanya ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar pada 17 November.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cik Alwiyah Talib (Bersatu-Endau) dan Encik Yusla Ismail (Umno-Senggarang).

Datuk Zahari juga memaklumkan bahawa bermula 2021 sehingga 2025, sejumlah RM19.8 juta ($6.2 juta) telah diperuntukkan bagi pembangunan sektor itu.

“Hasil usaha berterusan ini membolehkan Johor mengekalkan kedudukan sebagai negeri kedua tertinggi populasi ternakan haiwan dengan 160,845 ekor pada 2023, dan sasaran 200,000 ekor pada 2027,” katanya.

Tambahnya, projek berimpak besar yang menjadi tumpuan ialah pembangunan Lembah Tenusu Jemaluan (JDV) di Mersing, yang disifatkan sebagai pemangkin utama industri tenusu negeri.

“Dibangunkan di kawasan seluas 680 ekar yang disediakan kerajaan negeri, projek ini dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan syarikat pelaksana Jemaluang Dairy Valley Sdn Bhd (JDVSB), iaitu usaha sama antara Kulim (Malaysia) Berhad dan A2 Fresh Holdings Sdn Bhd.

“ECERDC menyiapkan prasarana bernilai RM68.5 juta pada 30 Jun 2025, manakala JDVSB melabur RM120 juta untuk operasi projek,” ujarnya.

JDV mampu menempatkan sehingga 4,000 ekor lembu tenusu dan menjangkakan pengeluaran purata 7.9 juta liter susu segar setahun dalam tempoh lima tahun pertama.

Ketibaan 1,000 ekor lembu bunting baka campuran A2 Jersey-Fresian dari Australia telah menandakan permulaan tahap pelaksanaan, dengan perahan susu pertama dijadualkan bermula Januari 2026.

Ketika ini, pengeluaran susu segar di Johor berada antara 6 hingga 7 juta liter setahun melalui 95 penternak dengan populasi sekitar 8,000 ekor, dan JDV dijangka melonjakkan kapasiti negeri kepada 13 hingga 15 juta liter setahun menjelang 2030.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg