Johor bakal muncul sebagai peneraju baru dalam industri tenusu negara dengan pelaksanaan projek Jemaluang Dairy Valley (JDV) yang dijangka mula beroperasi hujung 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, berkata JDV merupakan inisiatif strategik hasil kerjasama Kerajaan Negeri Johor dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
“Mulai Oktober ini, sebanyak 1,000 ekor lembu tenusu akan dibawa masuk dari Australia secara berperingkat bagi mengisi fasa awal operasi.
“Projek ini akan diuruskan oleh Jemaluang Dairy Valley Sdn Bhd (JDVSB), iaitu usaha sama antara Kulim (Malaysia) Berhad dan A2 Fresh Holdings Sdn Bhd,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan serta menerima taklimat perkembangan projek itu di JDV, pada 17 September.
Apabila beroperasi sepenuhnya, JDV dijangka mampu menghasilkan lima juta liter susu segar setahun, iaitu peningkatan sekitar 10 peratus kepada pengeluaran susu negara.
Menurut Datuk Zahari, Johor kini menghasilkan kira-kira 6.4 juta liter susu setahun. Dengan tambahan hasil daripada JDV, jumlah itu dijangka meningkat kepada 9 juta liter setahun, sekali gus menyumbang kepada keseluruhan 13 hingga 15 juta liter susu setahun menjelang 2027.
“JDV bukan sahaja mempertingkatkan pengeluaran susu Johor, tetapi juga akan berfungsi sebagai pusat pengumpulan susu segar daripada penternak sedia ada di kawasan sekitar,” jelasnya.
Beliau menegaskan projek ini selaras dengan usaha kerajaan negeri meningkatkan produktiviti industri susu serta menjamin tahap sekuriti makanan negara.
“Dengan adanya pusat tenusu berskala besar seperti JDV, penternak kecil juga dapat menyalurkan hasil mereka dengan lebih teratur, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan susu tempatan,” tambahnya.
Datuk Zahari berkata Johor akan terus memberi tumpuan terhadap projek berimpak tinggi dalam sektor pertanian bagi memastikan negeri ini kekal sebagai penyumbang utama kepada agenda sekuriti makanan negara.
Pada Mei 2021, kerajaan negeri telah mengumumkan pembangunan JDV dengan pelaburan melebihi RM100 juta ($30 juta) bagi mengeluarkan produk susu segar di Jemaluang, Mersing, dengan keluasan kira-kira 275.18 hektar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg