Kerajaan pusat memperkukuh pemantauan gempa bumi di Semenanjung Malaysia, termasuk di Johor, susulan kejadian gegaran bermagnitud 4.1 yang melanda Segamat pada 24 Ogos, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Beliau berkata beberapa campur tangan strategik telah dirangka oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) bagi meningkatkan keupayaan pengesanan dan kesiapsiagaan negara terhadap aktiviti seismik tempatan, terutama di kawasan yang cenderung mengalami gegaran kecil.
Menjawab soalan Ahli Parlimen (AP) Segamat, Encik R. Yuneswaran, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin (1 Disember), beliau berkata kerajaan telah meluluskan langkah pengukuhan melalui ‘Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13’.
“METMalaysia akan melaksanakan Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2, yang melibatkan pengukuhan 12 stesen seismik di seluruh negara. Langkah ini penting bagi memastikan rangkaian pemantauan sedia ada lebih sensitif dan responsif terhadap gegaran berskala kecil.
“Selain itu, dua stesen seismik baru akan dibina di Segamat dan Muar, manakala empat stesen sedia ada di Johor akan dinaik taraf daripada jenis ‘Strong Motion’ kepada ‘Weak Motion’. Peningkatan ini bertujuan membolehkan sistem mengesan gegaran tempatan yang lemah dengan lebih cepat dan tepat,” katanya.
METMalaysia turut meningkatkan keupayaan Sistem Pengesanan dan Pemprosesan Data SeisComP, dengan penekanan pada modul pengesanan gempa bumi tempatan bagi mempercepat pengeluaran maklumat serta meningkatkan ketepatan penilaian awal.
“Kerajaan juga sedang menyelaras penyelidikan saintifik dan penilaian risiko gegaran melibatkan pelbagai agensi teknikal,” katanya sambil menegaskan langkah tersebut selaras dengan usaha memperkukuh kesiapsiagaan bencana negara.
Beliau menambah pendekatan menyeluruh itu membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin, terutama selepas Johor mencatat beberapa gegaran kecil dalam tempoh kebelakangan ini.
“Langkah-langkah yang diambil ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan dalam memastikan sistem pemantauan gempa bumi negara berada pada tahap terbaik demi keselamatan rakyat dan kestabilan negara,” katanya.
Terdahulu, lima gegaran dicatat di Segamat bermula dengan kejadian pertama pada 6.13 pagi, 24 Ogos lepas dengan magnitud 4.1; 8.59 pagi, 27 Ogos (3.2); 7.56 malam, 28 Ogos (2.5); 4.24 pagi, 29 Ogos (3.4) dan 7.29 pagi 30 Ogos (2.7).
Pada 24 Ogos, satu gegaran turut dilaporkan di Yong Peng, 28 kilometer Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8.
Dua gegaran turut dicatat di Semerah dan Sri Medan, Batu Pahat, pada 31 Ogos dengan magnitud 3.0 dan 3 September dengan magnitud 2.9.
Kejadian terbaru berlaku pada 3 November, dengan satu gegaran lemah berukuran magnitud 2.7 dilaporkan berlaku di daerah Segamat pada 7.55 malam.
Walaupun gegaran itu berskala kecil, kerajaan negeri menegaskan kejadian itu wajar ditangani secara serius kerana menimbulkan keresahan masyarakat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg